Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 16, 2016

[KUANTAN] PENCULIK TINGGAL ANAK TEPI SUNGAI


Penculik tinggal anak tepi sungai


“Anak saya dikendong keluar dari rumah hingga ke sungai, mungkin cemas selepas mendengar jeritan kami sekeluarga, penculik tinggalkan anak saya di tepi sungai sebelum melarikan diri ke dalam semak berhampiran,” kata Rosnah Ghani, 39, ibu kepada Nur Aznidawati, 12, yang didakwa cuba dibawa lari seorang lelaki tidak dikenali dalam kejadian di Kampung Sungai Ular di sini, awal pagi kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 2 pagi itu berlaku ketika Nur Aznidawati bersama tiga adik beradiknya yang lain sedang tidur di dalam bilik. 

Rosnah berkata, mulanya dia rasa tidak sedap hati selepas mendengar bunyi ‘sesuatu’ di luar rumah dan pelik melihat pintu bilik anaknya terbuka manakala Nur Aznidawati yang lebih mesra dipanggil Acik tiada dalam bilik. 

“Saya sangka dia di dapur tapi selepas lihat pintu dapur lopong saya curiga sesuatu tidak diingini berlaku.

“Suami turut dengar bunyi orang meronta di luar dan ternampak Acik dikendong seorang lelaki menuju ke sungai,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya, semalam. 

Rosnah berkata, mereka sekeluarga bertindak mengejar lelaki itu sebelum Nur Aznidawati dilepas dan ditinggalkan di tepi sungai. 

Sementara itu, bapa mangsa, Salmi Mohamed Yusof, 40, berkata, dia hanya mendengar jeritan anaknya meminta tolong sekali saja, manakala adik-beradiknya langsung tidak menyedari suspek menceroboh masuk ke dalam bilik dan melarikan Acik. 

Salmi berkata, lelaki itu menceroboh masuk ke rumahnya selepas mencabut tiga cermin tingkap dan melarikan diri melalui pintu dapur. 

Katanya, dia bersyukur kerana Nur Aznidawati yang juga anak ketiga dari enam beradik itu hanya mengalami luka ringan namun, anaknya masih fobia dan takut kejadian sama berulang. 

“Anak saya hanya mampu menangis selepas kejadian kerana masih terbayang-bayang perbuatan tidak berperikemanusiaan itu. Dia juga takut keluar rumah,” katanya yang tidak dapat mengecam wajah suspek kerana keadaan gelap. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, polis sudah melakukan pemeriksaan di tempat kejadian selepas menerima laporan daripada mangsa. 

Pihaknya masih melakukan siasatan lanjut termasuk mengesan suspek terlibat dan meminta kerjasama penduduk setempat yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.


0 comments:

share2