Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, June 28, 2016

[KUANTAN] JANGAN TERPEDAYA PENGEMIS SIBER


Jangan terpedaya pengemis siber


Pengguna Internet, khususnya di laman sosial dinasihatkan supaya berhati-hati dengan ‘pengemis siber’ yang semakin berleluasa pada bulan Ramadan ini.

Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, ia seakan menjadi trend baharu menagih simpati melalui media sosial.

“Mereka yang menyalahgunakan media sosial untuk menagih simpati dan sumbangan pada waktu ini boleh kita kategorikan sebagai pengemis siber.

“Kita sebagai rakyat Malaysia memang sudah terkenal dengan sikap prihatin dan bermurah hati untuk menyampaikan sumbangan.

“Bila kita tengok dan baca paparan atau muat turun mereka yang menagih simpati ini, akan ada perasaan kesian, terpedaya sekali gus ingin melakukan sesuatu bagi membantu meringankan beban mereka,” katanya kepada pemberita selepas Program Jom

Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bersama anak yatim/Asnaf Beli Baju Raya, di Gedung Jakel, semalam.

Menurut Shahaniza, sebelum memberi pelbagai bentuk sumbangan kepada individu yang diviral menjadi ‘pengemis siber’ itu perlu disiasat terlebih dahulu.

Beliau tidak menolak pentingnya amalan bersedekah terutama pada bulan Ramadan tetapi pengguna internet perlu menyiasat kesahihannya terlebih dahulu.

“Jika kita berterusan melakukan perkara sebegini. Dikhuatiri dalam masa yang sama memberi galakan kepada mereka sehingga mencetus pula tren baharu.

“Justeru itu, kita perlu berhati-hati sebelum bersedekah kerana bimbang dalam kita hendak mencari pahala kita telah tidak sengaja menggalakkan amalan sebegini,” katanya.

Terdahulu, dalam program tersebut seramai 45 orang anak yatim daripada empat buah sekolah iaitu SK Indera Mahkota, SK Sungai Isap, SK Permatang Badak dan SK Seri Melati, di sini terpilih menerima sumbangan pakaian lengkap hari raya.

Rata-rata anak yatim yang ditemui masih belum memiliki baju raya dan diharap dengan bantuan pelbagai agensi seperti SKMM ini dapat membawa keceriaan kepada mereka.


0 comments:

share2