Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, June 24, 2016

70 TAHUN MEMENDAM RINDU


70 tahun memendam rindu


Kluang - Seorang warga emas memendam rindu rasa mahu pulang ke kampung halaman di Bintulu, Sarawak, untuk menyambut Aidilfitri selepas meninggalkan kampung tersebut 70 tahun lalu.

Sariah Nawi, 78, berkata, kerinduan pulang ke kampung halaman akan terasa apabila tibanya Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, keinginan berjumpa sanak saudara di Sarawak amat diimpikan, tetapi disebabkan faktor usia hasrat itu terpaksa dipendam.

"Saya meninggalkan kampung bersama ibu saudara untuk menetap di Kluang kira-kira 70 tahun lalu. Saya keluar dari kampung ketika itu pada usia 8 tahun.

"Sejak itu saya tak pernah pulang ke sana sehingga menyebabkan rasa rindu untuk bersama sanak saudara semasa hari raya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Perumahan Penempatan Rakyat Termiskin (PPRT) Jalan Mengkibol, di sini, semalam.

Sariah berkata, selepas berkahwin dengan pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ketika berumur 18 tahun, kemanisan berhari raya di kampung halaman terus dilupakannya kerana tanggungjawab pada suami menjadi keutamaan.

"Jika di Sarawak, hidangan pelbagai jenis kuih kek lapis atas meja untuk tetamu menjadi kemestian. Namun semua itu tidak ada di sini, sudah pasti semua ini akan terbayang apabila menjelang hari raya.

"Apabila hidup sebatang kara tanpa suami dan anakanak, perasaan itu bagaikan hilang dengan sendirinya ditambah keadaan diri yang uzur dan tidak boleh berjalan seperti biasa," katanya.

Menurutnya, keinginan untuk pulang ke kampung halaman tetap ada walaupun menyedari mungkin sanak-saudara sudah tiada mengenalinya, di samping kekangan kewangan kerana dia hanya bergantung harap dengan wang bantuan kerajaan semata-mata.

"Saya bersyukur dengan pemberian sumbangan ini kerana dapat menjimatkan perbelanjaan sehingga dua atau tiga bulan, lagipun cuma saya seorang sahaja di rumah ini.

"Jika ada saudara mara masih mengenali saya, diharapkan mereka dapat menjenguk saya di sini dan jika boleh bawa saya pulang ke kampung halaman, seterusnya menikmati hari raya bersama," katanya.

Sariah turut berharap memiliki kerusi roda bagi memudahkannya bergerak kerana ketika ini dia tidak mampu bergerak sendiri. Sariah turut menerima kunjungan Kelab Bermotosikal EZ Kluang,yang datang mengagihkan bantuan barangan dapur dan keperluan hari raya.


0 comments:

share2