Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, June 24, 2016

[KUANTAN] POLIS TUMPAS GENG AH FEI


Raja Shahrom Raja Abdullah


Polis berjaya menyelesaikan dua kes samun bersenjata di daerah ini susulan penahanan tiga suspek dipercayai ahli kumpulan ‘Ah Fei’ yang disyaki terlibat dalam rompakan membabitkan wang tunai dan barang kemas dianggarkan bernilai RM860,000 yang dilaporkan berlaku pada 2015 dan Jun lalu itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, tiga ahli kumpulan berkenaan termasuk ketuanya yang dikenali sebagai Ah Fei ditahan malam semalam di tiga lokasi berasingan di Perak dan Pulau Pinang.

Menurutnya, Ops Ah Fei dilancarkan susulan kejadian samun di Jalan Pintasan Bukit Setongkol di sini, 15 Jun lalu.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, dua mangsa kerugian RM30,000 apabila wang untuk membeli jentera pemotong sawit yang dibawa disamun tiga lelaki bersenjatakan parang selepas kereta dinaiki dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota bertolak ke Perak dan suspek pertama berjaya ditahan di Parit Haji Amin, Parit Buntar, Perak kira-kira jam jam 7.50 malam tadi (kelmarin).

“Manakala ketua kumpulan diberkas di Taman Sutera, Perai, Pulau Pinang jam 10.15 malam diikuti suspek ketiga di Lebuhraya Thean Teik, Bandar Baru Ayer Itam, Pulau Pinang, jam 11.30 malam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Raja Shahrom berkata, hasil semakan pihaknya mendapati ketiga-tiga suspek berusia antara 19 hingga 30 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah.

Katanya, susulan penahanan suspek, pihaknya turut merampas wang tunai RM4,000 dan tiga telefon bimbit.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan rompakan bersama seorang lagi yang masih bebas.

“Berdasarkan pendedahan ketua kumpulan dikenali Ah Fei itu, wang rompakan diagihkan antara RM3,000 sehingga RM5,000 kepada setiap ahli kumpulan.

“Siasatan turut mendedahkan Ah Fei bersama tiga lelaki lain turut terlibat dalam rompakan ke atas kenderaan membawa barang kemas yang bernilai RM830,000 di Lorong Bukit Setongkol Jaya 30, Kampung Jawa di sini kira-kira jam 6.15 petang, 16 Disember tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, susulan penahanan suspek itu, polis percaya dapat menyelesaikan dua kes rompakan itu.

“Suspek akan dibawa ke Kuantan untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.


0 comments:

share2