Seorang warga emas terkejut apabila mampu berjalan tanpa menggunakan tongkat selepas mendapatkan rawatan alternatif secara Islam di Jalan Bahagia di sini semalam.
Muhamad Mat Yon 80, berkata, sebaik sahaja bangun dari kerusi rawatan dia merasakan ada tenaga baharu yang membolehkannya melangkah kaki untuk berjalan.
“Walaupun perlahan-lahan tapi saya sudah boleh berjalan, tapi masa rawatan memang saya akui sangat sakit macam rasa nak terkencing, tapi sakit itu tak lama lepas rawatan saya boleh berjalan perlahan-lahan.
“Kaki saya mula rasa sakit dan tak mampu berjalan sejak lebih setahun lalu, hari ini ada rombongan dari Kampung Padang Lalang ke sini jadi saya ambil kesempatan untuk berubat dengan kaedah ini,” katanya.
Muhamad antara lebih 100 pesakit yang mendapatkan rawatan Islam yang dikendalikan secara percuma oleh Datuk Seri Baharudin Abu, pengasas Pusat Rawatan Islam al-Qalam di Jalan Bahagia di sini semalam.
Program Sentuhan Kasih anjuran Pertubuhan Rawatan Islam al-Qalam bersama Majlis Belia Daerah Temerloh itu bertujuan memberi rawatan secara percuma kepada warga emas kurang berkemampuan di daerah ini selain penyampaian sumbangan kepada pesakit yang hadir daripada golongan asnaf.
Program itu dirasmikan oleh Ketua Umno Bahagian Temerloh, Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsudin.
Sementara itu, seorang lagi pesakit, Muda Salleh, 65, dari Taman Seri Kemuning di sini berkata, dia diserang angin ahmar sejak setahun lalu, mengakibatkan anggota badannya lemah dan terpaksa berjalan menggunakan tongkat.
Menurutnya, selepas menerima rawatan semalam, dia mengakui terdapat sedikit perbezaan pada dirinya apabila pergerakan badannya semakin bertenaga dan kakinya lebih kuat untuk melangkah.
“Saya dapat rasa sedikit perbezaan selepas dirawat, walaupun kaki saya terasa sangat sakit apabila dipicit tetapi ia tidak lama.
“Memang saya akui kesakitan apabila jari kaki saya dipicit dan belakang badan saya ditepuk-tepuk tapi ia mungkin sebahagian daripada rawatan,” katanya.
Seorang lagi pesakit, Rashid Rahman 40, berkata, dia mengambil kesempatan untuk mendapatkan rawatan akibat sihir.
Menurutnya, semasa menjalani rawatan, dia dimaklumkan badannya terkena sihir dan ia diakui kerana beberapa pengamal perubatan Islam yang dikunjungi sebelum ini juga memaklumkan masalah sama dihadapinya.
“Saya perlu dapatkan rawatan susulan di Puchong iaitu di pejabat pusat rawatan Islam al-Qalam, untuk permulaan ini saya dapatkan beberapa rawatan awal,” katanya.
Timbalan Ketua Umno Bahagian Temerloh, Dato' Nor Azmi Mat Ludin turut mendapatkan rawatan semalam.
Rata-rata pesakit hadir mendapatkan rawatan kerana mempunyai masalah saka, lumpuh, kencing manis, resdung, sakit mata dan pelbagai masalah kesihatan lain.
Sementara itu, Dato' Sri Mohd Sharkar berkata, program tersebut satu kaedah membantu orang ramai yang jarang dilakukan sebelum ini.
“Saya hargai usaha dilakukan Majlis Belia Daerah Temerloh yang mencetuskan idea untuk membawa program seperti ini yang ternyata mendapat sambutan amat menggalakkan, malah pesakit dari golonan asnaf turut diberikan sumbangan,” katanya.
Baharudin pula berkata, rawatan secara percuma itu dibuat untuk memudahkan warga emas beribadat.
Beliau berkata, sumbangan yang diberikan kepada golongan asnaf terbabit diterima daripada orang ramai yang menerima rawatan di Pusat Rawatan Islam al-Qalam di Puchong, Selangor.
0 comments:
Post a Comment