Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 27, 2016

RUU PERSENDIRIAN BUKTI KERJASAMA UMNO-PAS


Nik Mohd Abduh


Kuala Lumpur - Tindakan kerajaan yang memberi laluan kepada Rang Undang-undang (RUU) Persendirian pindaan kuasa Mahkamah Syariah dibentangkan ke Dewan Rakyat merupakan bentuk kerjasama yang dinantikan oleh Pas.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, kerjasama itu demi kebaikan dan kepentingan bersama sangat dialu-alukan Pas meskipun ia datang daripada parti pembangkang yang lain.

"Inilah contoh kerjasama yang Pas maksudkan, kita berterima kasih kepada speaker, dan pihak kerajaan, yang berani untuk kali pertama membenarkan usul pindaan persendirian ini dibentangkan.

"Cuma ada orang lihat semua kerjasama dengan kerajaan itu tak boleh. Walaupun tak bersama dengan kita, tapi yang baik daripada Pakatan Harapan, adalah sama seperti kita," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng bahawa tindakan kerajaan yang mendahulukan RUU itu sebagai bukti kerjasama Umno dan Pas untuk tujuan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, pada 18 Jun ini.

Mengulas lanjut, Ketua Pemuda Pas itu juga enggan melayan dakwaan sebarang dakwaan mengatakan RUU itu untuk kepentingan politik.

Sebaliknya Nik Mohamad Abduh menegaskan, Pas sentiasa menjelaskan kepada rakyat tentang perjuangan mereka dan dasar Islam yang dibawa parti Islam itu untuk kesatuan dan kesejahteraan Malaysia.

"Bagi saya, yang menentang itu, dia tak banyak tahu mengenai hukum Islam, mereka nampak hukum Islam akan menyusahkan manusia.

"Kita akan buktikan bahawa meluaskan bidang kuasa mahkamah syariah ini, termasuk dalam kerja-kerja agama, yang tujuannya satu, untuk manfaat manusia," jelasnya.

Ditanya tentang kempen penerangan RUU akan dibawa dalam PRK akan datang, beliau berkata Pas akan terus beri penjelasan kepada rakyat.

"Kita akan bawa perkara ini dalam PRK. Umno mungkin akan bawa juga, kita pun akan bawa, dan semua pun berhak nak bawa.

"Ini peluang kita dalam PRK nanti, paling tidak rakyat Sungai Besar dan Kuala Kangsar, akan lebih awal mendapat penjelasan, berbanding kawasan lain," ujarnya.

Beliau turut berkeyakinan bahawa usul itu akan mendapat sokongan daripada semua ahli Parlimen Islam apabila dibahaskan pada sesi Dewan Rakyat akan datang.

"Sudah pasti (dapat sokongan) saya bukan minta, bahkan bahawa semua ahli Parlimen Islam akan sokong semua (termasuk Amanah dan PKR).

"Saya harap kalau ada yang bukan Islam sokong, itu lagi baik," katanya lagi.


0 comments:

share2