Pemain Melaka United, Khair Jones berazam untuk memberi komitmen terbaik sekiranya diberikan kepercayaan membarisi kesebelasan utama Harimau Malaysia walaupun pertama kali dipanggil menyertai skuad kebangsaan.
“Saya akan berlatih bersungguh-sungguh dan menggunakan pengalaman bermain di New Zealand untuk memantapkan pasukan kebangsaan.
“Saya akan cuba buktikan kemampuan dengan peluang diberikan ini,” katanya yang juga pemain tengah pasukan Liga Perdana itu.
Dalam pada itu, pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee berkata, pemilihan Khair dibuat berdasarkan rekod konsisten yang dipamerkan pemain berusia 26 tahun itu ketika beraksi bersama Melaka United mengharungi saingan Liga Perdana.
“Kita menilai prestasi setiap pemain dalam liga dan Khair dilihat bermain begitu konsisten sebab itu dia dipanggil menyertai skuad kebangsaan.
“Saya percaya dengan pengalaman dia di New Zealand dan Melaka United mampu kita ketengahkan ke peringkat lebih baik,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pemain liga perdana dari Johor Darul Ta’zim (JDT II) Zaquan Adha Abdul Razak juga terpaksa memendekkan percutian bersama keluarga di Thailand sejurus mendapat panggilan daripada Kim Swee bagi menggantikan R Gopinathan.
“Ini satu contoh yang baik walaupun bercuti bersama keluarga tapi dapat panggilan untuk sertai skuad kebangsaan dia sanggup melupakan cuti itu dan pulang berlatih bersama kita,” katanya.
0 comments:
Post a Comment