Kepakarannya dalam mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran yang lengkap dengan panduan tajwid sememangnya tidak dapat dinafikan.
Apatah lagi kemerduan suaranya dalam bertaranum mampu membuatkan pendengarnya terpesona sekaligus memberi kesan yang lebih mendalam.
Tidak hairanlah kelebihan yang dimiliki salah seorang qariah Malaysia ini sentiasa menjadi inspirasi dan rujukan buat masyarakat Islam di negara ini.
Biarpun pelbagai pencapaian telah diraih, perjuangannya mendalami bidang itu seakan tidak lengkap tanpa mencurahkan ilmu dan keistimewaan yang dikurniakan ALLAH SWT bersama masyarakat.
Dengan hasil usahanya sendiri, anak kelahiran Ipoh, Perak ini tidak pernah jemu mengadakan pelbagai aktiviti membaca al Quran semata-mata untuk mendidik masyarakat lebih dekat dengan kitab suci itu.
“Alhamdulillah, selain terlibat dengan beberapa program anjuran pihak lain, saya juga aktif dalam mengadakan kelas taranum dan al Quran untuk melahirkan lebih ramai orang yang hebat dalam Al-Quran dan semua informasi saya kongsikan di Facebook.
“Hendak berjihad ini bukannya mudah, tapi kemanisannya memang tiada tandingan dan saya sangat memuji anak murid saya yang sanggup bersusah payah untuk menguasai ilmu ini.
“Bukan hanya mahir dalam bacaan Al-Quran, malah akhlak mereka juga terbentuk dengan baik.
“Sebenarnya atas sebab itu juga saya tetap meneruskan kelas ini demi melatih jiwa saya sendiri untuk sentiasa konsisten dalam berpegang teguh kepada Al-Quran dan keseluruhannya,” ujarnya kepada Zass.
Tidak mengehadkan dakwahnya di tahap itu, Sharifah Khasif turut mengimpikan satu hari nanti dia mampu untuk mewujudkan pusat Al-Quran untuk mengembangkan lagi perkongsiannya.
“Insya-Allah, saya memang ada terfikir untuk memiliki sebuah pusat Al-Quran yang sama semuanya dijalankan di situ seperti didikan Al-Quran, tauhid, fekah dan seumpamanya.
“Itulah cita-cita saya dan sekarang saya masih berusaha ke arah itu. Mudah-mudahan ia akan menjadi kenyataan satu hari nanti.
“Buat masa ini saya fokuskan kepada kelas-kelas yang sedia ada walaupun dalam kelompok yang kecil, tapi fokusnya pada kualiti bacaan mereka,” ujarnya.
Paksa lahirkan minat
Bercerita mengenai perjalanannya bergelar qariah sejak dari kecil, Sharifah Khasif turut menasihati golongan ibu bapa untuk memainkan peranan dalam memupuk budaya membaca Al-Quran di kalangan anak-anak.
“Memang tidak senang untuk menjadi orang yang betul-betul siang dan malamnya dengan Al-Quran.
“Seawal usia empat tahun saya mula membaca Al-Quran bermula dengan paksaan sehinggalah minat itu timbul sendiri.
“Sejak awal saya telah diterapkan dan berpegang pada konsep ‘tak paksa, tak dapat’. Bukan semua anak-anak suka membaca Al-Quran tapi ia bergantung kepada kemahuan ibu bapa.
“Ada juga ibu bapa yang tidak mementingkan semua ni kerana mereka bagi mereka pandai mengaji sudah cukup padahal Al-Quran ini banyak manfaat dan rahmatnya,” katanya.
Pada masa yang sama, ibu kepada seorang anak ini mengharapkan umat Islam kini menjalani kehidupan yang lebih seimbang di antara dunia dan akhirat.
“Harapan saya sangat besar. Kita boleh menjalani kehidupan moden tapi ia pastinya seiring dengan gaya hidup yang berlandaskan syariat Islam.
“Lumrah orang muda yang sukakan hiburan, tapi biarlah seimbang dengan Al-Quran. Umpamanya kita mengaji lebih dari menyanyi.
“Apa jua yang kita lakukan, ia haruslah seimbang. Jika terlalu sibuk mencari dunia, kita akan hanyut, tapi kalau kita sibuk mencari akhirat, Insya-Allah kita dapat dunia dan akhirat,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.
0 comments:
Post a Comment