“Saya sangat bersyukur kerana jiran-jiran menyelamatkan anak sulung saya yang juga orang kurang upaya (OKU), Ahmad Zaki Zamani Razali, 31, semasa rumah kami terbakar,” kata ibu tunggal, Salmah Bidin, 54, mangsa kebakaran di Kampung Chengal Lempong, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.00 tengah hari itu, Salmah tiada di rumah kerana menghadiri majlis kenduri di rumah adiknya di Taman PSJ Chengal Lempong bersama cucunya, Muhammad Haiqal Ridzuan, 9, manakala Ahmad Zaki berada di rumah.
Kebakaran terbabit menyebabkan dua rumah teres berkembar itu musnah.
Menurutnya, dia menerima panggilan telefon daripada jiran memaklumkan kejadian itu dan bergegas pulang ke rumah.
“Ketika sampai saya lihat keadaan rumah sudah musnah dan Ahmad Zaki sudah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) kerana mengalami sesak nafas akibat terhidu asap tebal.
“Saya lega kerana ada jiran-jiran yang prihatin membantu Ahmad Zaki,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Salmah berkata, itu kejadian kali pertama sejak dia menyewa di situ enam tahun lalu dan semua peralatan rumah musnah termasuk dokumen penting.
“Buat masa ini, kami semua terpaksa menumpang di rumah adik sebelum mendapat rumah sewa yang lain,” katanya.
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid hadir menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban mangsa.
Beliau melahirkan rasa simpati terhadap nasib yang menimpa mangsa selain mengingatkan mereka supaya lebih berwaspada terhadap sistem pendawaian rumah.
0 comments:
Post a Comment