Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 29, 2016

SARAN CATU AIR EMPANGAN BUKIT MERAH SERTA-MERTA


Saran catu air empangan Bukit Merah serta-merta


Gunung Semanggol - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menasihatkan kerajaan negeri Perak mempertimbangkan perlaksanaan catuan air di kawasan empangan Kolam Bukit Merah serta-merta berikutan simpanan air empangan itu hanya tinggal 13.66 peratus.

Anggota SPAN, Profesor Datuk Dr Marimuthu Nadason berkata, fenomena El Nino terburuk ketika ini menyebabkan bekalan air di empangan Kolam Bukit Merah bagi tujuan pertanian ditangguhkan sementara, manakala bekalan air bagi kegunaan domestik hanya tinggal kurang 30 hari sebelum arahan catuan air mandatori dibuat.

Menurutnya, perlaksanaan catuan itu akan melanjutkan tempoh ketersediaan sumber air di Empangan Kolam Bukit Merah dan mengurangkan risiko empangan kering, sekali gus memberi impak serius kepada pengguna bekalan air.

"Daripada kerajaan negeri menunggu kurang 30 hari sudah menetapkan catuan air dibuat, lebih baik perlaksanaan catuan air dimulakan sekarang bagi membolehkan bekalan air di empangan bertahan sekurang-kurangnya tambahan sebulan lagi.

"Sehingga 27 April lalu, empangan Kolam Bukit Merah berada pada paras 6.16 meter, di bawah paras kritikal 7 meter dan hanya mempunyai simpanan air sebanyak 13.66 peratus.

"Simpanan tersebut hanya mampu menampung keperluan bekalan air selama 30 hari dan sekiranya hujan berterusan tidak turun di kawasan tadahan, maka empangan akan kering dalam tempoh 30 hari," katanya kepada media selepas melawat empangan Kolam Bukit Merah dan Loji Rawatan Air (LRA) Gunung Semanggol, di sini pagi tadi.

Bagi melaksanakan catuan air di kawasan daerah Kerian dan daerah Larut, Matang dan Selama (LMS), Dr Marimuthu menegaskan Lembaga Air Perak (LAP) perlu mengikut prosedur ditetapkan dengan mengemukakan permohonan rasmi kepada SPAN terlebih dahulu.

Menurutnya, apabila catuan air dilaksanakan, pengguna-pengguna kebiasaannya akan mendapat bekalan air selama sehari dan terputus bekalan selama dua hari secara bergilir dan berjadual.

"Bagi lokasi memerlukan tahap penggunaan air tinggi seperti hospital, pihak LAP disarankan menghantar lori tangki air pada hari catuan bagi mengelakkan operasi harian lokasi itu terjejas.

"Selain itu, LAP juga turut menghantar bantuan bekalan air kepada kawasan-kawasan terjejas dengan lori tangki dan menempatkan tangki-tangki statik sepanjang masa,"katanya.

Dr Marimuthu berkata, setakat ini empangan Kolam Bukit Merah membekalkan sumber air mentah kepada dua loji rawatan air iaitu LRA Gunung Semanggol dan LRA Jalan Baru, Parit Buntar.

Menurutnya, LRA Gunung Semanggol menghasilkan 120 juta liter sehari (JLH) air terawat dan membekalkannya ke kawasan Kamunting, Kuala Gula, Gunung Semanggol dan Selinsing untuk kegunaan 46,800 akaun pengguna atau 168,600 penduduk.

"Manakala LRA Jalan Baru merawat sebanyak 30 JLH dan membekalkan air ke kawasan Tanjung Piandang, Parit Buntar dan Kuala Kurau dengan jumlah 13,700 akaun pengguna atau mewakili 61,650 penduduk," katanya.

Sementara itu, Dr Marimuthu turut memaklumkan SPAN mengenal pasti beberapa loji rawatan air di negeri lain seperti Perlis, Pahang, Kedah dan Johor turut terkesan akibat keadaan kemarau.

Menurutnya, loji-loji itu merupakan LJA Timah Tasoh, Perlis, tiga loji rawatan air di Pahang (LRA Lubuk Kawah dan LRA Jelai dan LRA Chini), tiga di Kedah(LRA Bukit Tupah, LRA Merbuk dan LRA Gurun) dan empat loji di Johor (LRA Sg Gembut, LRA Lok Heng, LRA Mersing dan LRA Tenglu).

"Loji-loji berkenaan tidak dapat merawat dan mengeluarkan jumlah air terawat seperti biasa akibat kekurangan air mentah.

"Bagi negeri Perlis, Pahang dan Kedah, sejumlah 8,012 akaun atau anggaran 40,060 penduduk dikenal pasti terjejas bekalan air mereka,"katanya.

Dr Marimuthu berkata, SPAN juga meluluskan permohonan bekalan air berjadual bagi daerah Mersing dan Kota Tinggi, Johor kerana empat loji rawatan air di sana mengalami kekurangan air terawat antara 38 peratus hingga 67 peratus.

"Perlaksanaan bekaan air berjadual ini akan melibatkan sebanyak 16,301 akaun pengguna atau anggaran 81.505 penduduk di kedua-dua daerah terbabit,"katanya.


0 comments:

share2