Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, April 26, 2016

#PRNSARAWAK: TIADA KESEPAKATAN, BUKTI PEMBANGKANG TIDAK MAMPU TUBUH KERAJAAN KUKUH




Lundu - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kegagalan pembangkang mencapai kesepakatan dalam pengagihan kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) menjadi petanda mereka tidak mampu menubuhkan kerajaan yang kukuh.

Perdana Menteri berkata kegagalan DAP dan PKR mencapai kesepakatan dalam agihan kerusi di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sekali gus menunjukkan mereka tidak mampu berpakat untuk berkhidmat kepada rakyat Sarawak.

Najib menegaskan kemenangan tanpa bertanding Barisan Nasional (BN) Sarawak di dua DUN iaitu Bukit Sari dan Bukit Kota menjadi bukti ikatan sesama pembangkang sememangnya terlalu longgar.

"Ini satu petanda bahawa mereka tidak mampu menubuhkan kerajaan yang boleh membawa keyakinan kepada rakyat Sarawak kerana pada peringkat awal lagi mereka sudah gagal mencapai kesepakatan.

"Oleh itu, pengundi Sarawak tidak harus memberi sokongan kepada pembangkang kerana masa depan Sarawak akan menjurus kepada masa depan yang lebih sejahtera dan lebih makmur sekiranya BN dapat memerintah secara berterusan," katanya selepas hadir di Pusat Penamaan Calon Tanjung Datu di sini Isnin.

Najib, yang juga Pengerusi BN, mahukan semua jentera pilihan raya BN Sarawak bekerja keras bagi memenangi pilihan raya ini dengan lebih cemerlang.

"Jangan menggangap kemenangan itu sudah dalam tangan walaupun kita mempunyai tahap keyakinan yang tinggi.

"Kita ingin majoriti lebih bukan sahaja dari segi bilangan kerusi tetapi merampas balik kerusi dari pembangkang dan juga meningkatkan undi popularti supaya kerajaan BN Sarawak yang dipimpin oleh Adenan (Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem) merupakan kerajaan kuat, kukuh dan mewakili semua kaum secara saksama.

"Ini amat penting kerana kita mempunyai agenda yang besar untuk Sarawak. Kita ingin supaya perpaduan dapat kita pelihara dan perkukuhkan dalam membentuk sebuah kerajaan yang merupakan kesinambungan nanti," katanya.

Najib berkata banyak agenda besar akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang untuk negeri Sarawak.

"Kerajaan pusat akan memberi kerjasama, sokongan dan juga dana sebanyak mungkin serta termampu supaya impian yang kita kongsi bersama iaitu Sarawak akan terus maju seiring dengan semenanjung akan menjadi kenyataan," katanya.

Najib berkata PRN ke-11 akan menjadi pelopor dan memperkukuh keyakinan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) namun "kita tidak akan mengambil mudah".

Kejayaan BN di Sarawak akan menjadi sangat penting untuk badan gabungan itu menetapkan momentum ke arah pilihan raya umum akan datang, katanya.

Ditanya mengenai perancangan untuk Sarawak dalam lima tahun akan datang, Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pelbagai projek gergasi dan ikonik seperti Lebuhraya Pan Borneo, pembinaan jalan-jalan di luar bandar, serta kemudahan internet akan diteruskan.

Sebelum itu, Najib bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir memberi sokongan kepada Adenan yang merupakan calon BN Tanjung Datu di Dewan Masyarakat Lundu, di sini.

"Pertama saya amat gembira bahawa hari ini saya dapat menunaikan undangan yang dibuat ketua menteri untuk bersama beliau pada hari penamaan di Tanjung Datu.

"Pertama kali dalam sejarah perdana menteri dan pengerusi BN hadir pada hari penamaan calon bagi menujukkan sokongan kuat dan padu kepada ketua menteri Sarawak dan juga BN Sarawak pada keseluruhannya.

"Saya dapat mengesahkan apa yang dizahirkan ketua menteri bahawa BN Sarawak berada dalam keadaan yang bersemangat tinggi dan semua persediaan dilakukan dengan begitu kemas dan saya yakin dan percaya Insyallah BN akan memperolehi kejayaan," katanya.

Sementara itu, Adenan berkata pertelingkahan antara DAP dan PKR sehingga menyebabkan berlaku pertindihan di beberapa kerusi pada PRN ke-11 ini menunjukkan mereka tidak mempunyai kesepakatan.


0 comments:

share2