
Agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian digesa memberikankan perhatian serius terhadap ancaman kumbang merah palma yang menyerang pokok kelapa sawit dan kelapa yang dilihat semakin merebak ke beberapa negeri termasuk Pahang.
Exco Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Pahang Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, usaha menyekat penularan pembiakan kumbang yang menyerang pokok kelapa sawit dan kelapa perlu dilakukan segera bagi memastikan ekonomi negara tidak terjejas.
Menurutnya, kumbang merah palma yang mula dikesan pada 2010 dipercayai masuk ke negara ini menerusi pintu sempadan sebelum menyerang Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
“Serangga itu hanya menyerang pokok kelapa sawit, kelapa dan kurma dengan merosakkan bahagian batang dan pucuk pokok. Pokok akan mati dalam tempoh beberapa bulan selepas kehadirannya.
“Kerjasama pengusaha kebun diperlukan bagi memastikan kumbang merah palma tidak terus menular dengan mengambil langkah pencegahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan seminar 3P (Pembendungan, Pengawalan dan Penghapusan) kumbang merah palma (RPW) di Pusat Latihan Pertanian Inderapura, di sini.
Program anjuran Jabatan Pertanian Pahang itu disertai lebih 100 peserta terdiri daripada pekebun dan kakitangan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Shafik Fauzan berkata, pekebun kelapa dan sawit perlu segera berhubung dengan Jabatan Pertanian jika mendapati tanaman mereka mati dengan ada tanda serangan kumbang merah palma.
“Kita tidak mahu kejadian serangan serangga berkenaan terhadap kebun kelapa di Terengganu menyebabkan kerugian besar kepada pekebun berlaku di negeri ini,” katanya.

0 comments:
Post a Comment