Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, April 30, 2016

IKAN MATI AKIBAT EL NINO


Kemarau


Kuala Terengganu – Seramai 54 pengusaha ikan sangkar di seluruh negeri mengalami kerugian hampir RM800,000 ekoran berlakunya kematian ikan disebabkan fenomena El Nino yang kuat melanda negeri ini.

Angka berkenaan dicatatkan sejak dua bulan lalu, sehingga minggu ketiga bulan April ini, malah dijangka masih ada laporan sama dalam masa terdekat dibuat pengusaha-pengusaha ikan sangkar, berikutan masih terdapat kesan El Nino yang dijangka berlanjutan sehingga Jun.

Timbalan Pengarah Perikanan negeri, Ruzaidi Mamat berkata, kes paling tinggi dilaporkan berlaku di Hulu Terengganu melibatkan 24 pengusaha ikan sangkar.

Diikuti daerah Setiu (13), Kuala Terengganu (8), Dungun (7) dan Marang dua kes.

“Setakat ini kita menerima sebanyak 54 laporan daripada pengusaha ikan sangkar dengan kerugian RM775,664 sehingga minggu lepas.

“Pengusaha-pengusaha ini terdiri daripada pengusaha ikan air tawar, air payau dan juga kolam air tawar yang terjejas teruk kesan suhu dan juga kuantiti air sejak fenomena El Nino yang melanda negara.

“Biasanya ikan selesa tinggal di dalam air dengan suhu 28 hingga 32 darjah Celcius, tetapi fenomena kali ini mencecah sehingga melebihi 35 darjah Celcius menyebabkan kebanyakan ikan mati,” katanya pada Jalinan Mesra Gotong Royong Bersama Komuniti di Kuarters Perikanan Chendering, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Penyelaras Dun Batu Burok, Zamri Awang Hitam.

Menurut Ruzaidi, laporan kerugian yang diterima jabatannya itu, akan dihantar ke peringkat pusat untuk dinilai sebelum menerima bantuan sewajarnya di atas kerugian yang dialami pengusaha-pengusaha ikan sangkar di Terengganu.

“Kita buat macam biasa, ikut prosedur biasa apabila ada laporan kerugian dan sebagainya, semua keputusan di peringkat Pusat dan kita hanya hantar laporan,” katanya.

Bagaimanapun, Ruzaidi berharap pengusaha bersabar menunggu bantuan tiba.

Dalam masa sama, Ruzaidi bersama Zamri sempat melakukan ziarah ke beberapa buah rumah penduduk kawasan sekitar yang sakit dan uzur.


0 comments:

share2