Kuala Terengganu - Seorang lelaki yang mengamuk serta mengugut mahu memukul bapanya menggunakan kayu kerana enggan menyerahkan wang RM2, dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh mahkamah majistret di sini, kelmarin.
Keputusan itu dibuat apabila tertuduh, Faisal Maidin, 38, dari Batu Buruk, di sini, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Tertuduh mengaku salah melakukan ugutan jenayah terhadap bapanya yang berusia 63 tahun, dengan menggunakan sebatang kayu sehingga menyebabkan ketakutan di sebuah rumah di Batu Burok, di sini kira-kira jam sembilan malam pada 16 Mac lalu. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.
Berdasarkan fakta kes, mangsa yang berada di rumah terdengar bunyi bising yang dilakukan anaknya kerana mengamuk, dengan mengetuk dinding rumah selepas tidak berpuas hati tidak diberikan wang oleh isteri mangsa (ibu Faisal).
Mangsa kemudian menegur anak lelakinya itu, menyebabkan berlaku pertengkaran dan Faisal bertindak mengambil sebatang kayu lalu datang ke arah mangsa, untuk memukulnya.
Dalam situasi kelam kabut itu, mangsa sempat bergelut dengan anaknya sebelum dileraikan oleh isteri mangsa dan anaknya meninggalkan rumah, selepas isteri mangsa terpaksa memberikan RM2 seperti yang dikehendaki.
0 comments:
Post a Comment