Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, March 12, 2016

[KUANTAN] WAN SYAZLIN DIPERCAYAI BERADA DI UTARA


Sharifuddin Ab Ghani


Pelajar Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) Wan Syazlin Wan Zainuddin, 19, yang menghilangkan diri awal bulan lalu dipercayai kini berada di utara.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani berkata, perkembangan itu berdasarkan hasil siasatan yang dilakukan pihak polis bagaimanapun usaha akan dilakukan sehingga gadis itu berjaya ditemui.

Menurutnya, polis akan meneliti sebarang petunjuk yang boleh membantu siasatan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Cawangan Khas Pahang di antara Datuk Riduan Hashim dengan Senior Asistan Komisioner, Mohd Shuhaily Mohd Zain, di sini, semalam.

Pada 3 Mac lalu, polis mengesahkan gadis tersebut sengaja menghilangkan diri atas faktor tertentu dan kehilangannya tidak dikaitkan dengan sebarang unsur jenayah.

Sebelum itu, kes kehilangan Wan Syazlin Wan Zainuddin, 19, menjadi viral di laman sosial apabila ramai yang bersimpati dan menyebarkan berita kehilangan gadis itu dengan harapan dia akan segera ditemui.

Wan Syazlin kali terakhir dilihat di Polisas pada 5 Februari lalu dan sepatutnya pulang ke Terengganu sempena cuti Tahun Baharu Cina, bagaimanapun gadis itu tidak muncul-muncul sehingga memaksa bapa­nya, Wan Zainuddin Wan Isa membuat laporan polis pada 8 Februari lalu apabila cubaan meng­hubungi Wan Syazlin gagal kerana telefonnya dimatikan.

Dalam perkembangan berkaitan bauksit, Sharifuddin berkata, sehingga kini, dalam tempoh moratorium, semua pengusaha patuh dan pihaknya berpuas hati dengan situasi tersebut.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat pertukaran petugas iaitu Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Perak dengan Batalion 4 PGA Semenyih seramai 90 anggota bermula hari ini.

“Skop tugasan mereka tetap sama dan di tempatkan di sembilan lokasi yang ditetapkan,” katanya.


0 comments:

share2