Putrajaya - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diajak kembali bersama Umno sambil diingatkan tentang nasihatnya sendiri suatu ketika dahulu.
Timbalan Presiden Kelab Timbalan Ketua Umno Bahagian (TKUB), Datuk Seri Abd Hamid Md Nazahar berkata, Tun Mahathir sentiasa mengingatkan bahawa kepentingan parti mengatasi segala-galanya.
"Justeru itu, kami selaku anak-anak yang ada pada hari ini menyeru Tun Mahathir untuk kembali bersama-sama parti.
"Kerana beliau juga telah menyarankan kepada kita dahulu...apabila kita di persimpangan, parti perlu diutamakan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Sebelum ini, Tun Mahathir mengumumkan keluar parti buat kali kedua sebagai tanda protes kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ketika ditanya sama ada pihaknya ada bertemu dengan Tun Mahathir bagi membincangkan tentang tindakannya mengetuai Deklarasi Rakyat, Abd Hamid yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuantan itu mengakui tidak ada perancangan berbuat demikian.
"Kerana pada kita Tun bekas perdana menteri, bekas presiden parti...beliau orang tua yang pernah berjasa pada kita tapi kita mengharapkan kepentingan parti mengatasi segala-galanya," katanya.
Dalam pada itu, pihaknya menyerahkan kepada Majlis Tertinggi Umno untuk mengambil apa jua tindakan ke atas pihak yang terlibat dengan Deklarasi Rakyat.
"Kita fikir Majlis Tertinggi (Umno) cukup waras, bijaksana untuk memikirkan tindakan yang terbaik untuk pemerkasaan parti.
"Kita tidak merasakan bahawa akan ada tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan, akan dilakukan oleh mereka, insya-ALLAH," katanya.
Sebelum ini, Tun Mahathir mengetuai kumpulan lebih 50 orang memeterai deklarasi itu menyokong penyingkiran Najib sebagai Perdana Menteri.
Termasuk dalam kumpulan itu bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan veteran DAP, Lim Kit Siang.
0 comments:
Post a Comment