LAGENDA bola sepak Brazil, Pele membuat keputusan untuk melelong barangan koleksinya sepanjang karier bola sepak termasuk tiga pingat Piala Dunia dan bola yang dijaringkan ketika meledak gol ke-1,000.
Koleksi barangan itu akan dilelong dalam sebuah majlis di London yang di jadual berlangsung dari 7 hingga 9 Jun ini.
Antara barangan lain yang turut dilelong oleh bekas bintang bola sepak tersebut ialah jersi bernombor 10 yang dipakai olehnya antara tahun 1970-1971.
Pele adalah satu-satunya pemain dalam sejarah bola sepak yang telah memenangi Piala Dunia tiga kali, iaitu pada tahun 1958, 1962 dan 1970.
Menurut Pele, selain menyumbangkan separuh daripada kutipan hasil jualan tersebut kepada sebuah Hospital Kanak-kanak Pequeno Principe di Brazil, lelongan tersebut juga akan membuka peluang buat peminat untuk memiliki barangan bersejarah miliknya itu.
“Saya harap peminat akan menghargai artifak ini dan berkongsi cerita mengenai saya dengan anak-anak dan generasi mereka akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, replika Piala Dunia merupakan antara barangan yang termahal dilelong oleh Pele dan dianggarkan berjumlah RM1,638,605.42 (£281,000) - RM2,449,161.13 (£420,000).
0 comments:
Post a Comment