Parit Buntar - Sebuah restoran di sebuah p diberi notis amaran daripada Kementerian Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan(KPDNKK) setelah didapati mempamerkan logo halal tidak mendapat pengesahan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Penolong Pengarah Kanan Unit Pengurusan Halal Jaipk, Yusri Abdul Rani berkata, hasil pemeriksaan 19 anggota dan kakitangan Pejabat Agama Islam Parit Buntar, KPDNKK dan Majlis Daerah Kerian(MDK) mendapati, beberapa sijil perakuan halal dipamerkan sebenarnya milik beberapa syarikat pembekal bahan mentah kepada premis itu.
Menurutnya, tindakan itu menyalahi peraturan kerana mana-mana premis tidak boleh mempamerkan logo halal sekiranya tidak menerima pensijilan halal daripada Jakim.
Katanya lagi, kesemua sijil pengesahan halal dipamerkan premis, diarahkan untuk diturunkan dan ditanggalkan serta-merta oleh Unit Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Negeri Perak(Jaipk) kerana didapati cuba mengelirukan pelanggan yang beragama Islam.
"Bagaimanapun, memandangkan pemiliknya mendakwa baru mengambil-alih pengurusan restoran daripada orang lain, premis itu diberi amaran dan diarahkan memohon mendapatkan pensijilan halal daripada agensi bertanggungjawab.
"Sekiranya kesalahan itu berulang, pemilik premis boleh didakwa di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Perakuan dan Penandaan Halal). yang boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya kepada media di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sewaktu menjalankan Ops Pemeriksaan Halal bersama Pejabat Agama Islam Parit Buntar, KPDNKK cawangan Parit Buntar dan pegawai MDK di tiga premis dan sebuah restoran di sekitar sini bermula jam 11 pagi hingga 1.30 petang.
0 comments:
Post a Comment