Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, February 21, 2016

PEKERJA TEMPATAN ANTARA SYARAT BAHARU LESEN LAUT DALAM


Ahmad Shabery Cheek


Kemaman - Penggunaan tenaga pekerja tempatan adalah antara syarat baharu yang akan diambil kira sebelum lesen perikanan laut dalam diluluskan selepas ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, syarat itu dikenakan supaya ia tidak diberi secara sangat mudah hingga boleh merugikan negara.

Katanya antara kriteria yang perlu dipatuhi pengusaha untuk memperbaharui lesen mereka selepas ini adalah penggunaan bot yang sesuai manakala tekong dan kru (awak-awak) pula terdiri daripada pekerja tempatan.

"Saya sudah bincang dengan Jabatan Perikanan supaya jangan mudah beri sebarang lesen baharu kepada pengusaha sekiranya ada yang tak penuhi kriteria ditetapkan ini.

"Ia juga bagi mengelak wujudnya pengusaha tidak bertanggungjawab yang bertindak beri lesen itu untuk diguna orang lain (nelayan asing) dan kemungkinan ikan tidak didaratkan dalam negara kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program melepaskan 3,000 ekor anak ikan di Kemaman Waterfront, di sini semalam.

Program itu adalah antara aktiviti promosi awal Karnival Transformasi Orang Muda (TOM) Kemaman 2016 yang bakal berlangsung dari 17 hingga 19 Mac depan bertujuan menggalakkan belia agar terlibat dengan industri perikanan sebagai sumber pendapatan mereka.

Mengenai keputusan kerajaan untuk menangguhkan kemasukan semua pekerja asing ke negara ini, termasuk pengambilan pekerja Bangladesh, Ahmad Shabery berkata ia adalah peluang terbaik untuk pekerja tempatan menceburi bidang perikanan terutama industri laut dalam.

"Sebelum ini, pekerja asing diambil untuk bekerja sebagai tekong dan awak-awak kerana mereka sanggup berada di laut selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan dengan kemahiran tertentu.

"Namun, kekosongan ini nanti perlu diisi oleh pekerja tempatan dan mereka perlu memberi sumbangan kepada pembangunan negara dalam industri ini," katanya.


0 comments:

share2