Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, February 25, 2016

MAUT TERCAMPAK DARI KERUSI PERMAINAN DI TAMAN TEMA




Beijing – Seorang lelaki menjadi mangsa terbaharu maut selepas tercampak dari sebuah permainan yang dinaikinya di sebuah taman tema di bandar Sanmenxia, China baru-baru ini.

Lelaki malang yang tidak dikenali itu dilaporkan media tempatan telah menaiki permainan berkenaan di taman tema Yangshao di wilayah Mianchi pada Isnin lalu.

Satu rakaman video yang dirakam oleh seorang pengunjung menunjukkan permainan berkenaan berpusing-pusing sebelum lelaki itu tercampak dari tempat duduknya.

Lelaki itu dilaporkan maut serta-merta di lokasi kejadian akibat kecederaan parah selepas terhempas di lantai.

Mangsa dilaporkan tercampak dari kerusi didudukinya selepas tali keselamatan yang dipakainya putus ketika permainan itu berpusing laju.

Kemalangan itu berlaku beberapa hari selepas seorang remaja maut akibat tercampak ketika menaiki permainan kapal lanun di sebuah lagi taman tema di China.

Remaja yang berusia 19 tahun itu dilaporkan menaiki permainan berkenaan di sebuah pesta di kampung Jiaguang di wilayah Hebei.

Saksi berkata, ketika kapal itu berayun ke depan dan belakang, remaja berkenaan yang dipercayai mabuk tiba-tiba berdiri.

Remaja itu jatuh ke bawah sebelum digilis permainan berkenaan beberapa kali.

Media tempatan memberitahu, remaja itu mati di tempat kejadian dan dalam keadaan mengerikan.


0 comments:

share2