Fenomena air pasang besar malam kelmarin merupakan perkara biasa bagi penduduk yang tinggal berhampiran muara Sungai Kuantan dan pantai di sini, setiap kali tiba musim tengkujuh atau ketika hujung tahun.
Penduduk Tanjung Api di sini, Saimah Sidek, 63, berkata, kejadian air pasang besar pada kira-kira jam 10 malam kelmarin baginya lumrah yang terpaksa dilalui setiap tahun.
Menurutnya, penduduk di situ sudah menjangkakan lebih awal fenomena itu berdasarkan perkiraan tarikh dan pemerhatian keadaan bulan (mengambang) selain maklumat rasmi daripada Jabatan Meteorologi.
“Air pasang besar yang berlaku kelmarin masih di paras normal dan memang selalu berlaku.
“Kami langsung tidak risau kerana air laut yang membanjiri jalan dan longkang surut dalam tempoh kurang dua jam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.
Saimah berkata, tidak banyak rumah penduduk terjejas akibat fenomena itu kerana kebanyakan penduduk di situ sudah mengubahsuai rumah masing-masing menjadi lebih tinggi.
“Walaupun fenomena ini perkara biasa yang dilalui penduduk di sini, namun keselamatan anak-anak tetap diberi perhatian mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
Rohana Abd Rashid, 47, pula berkata, fenomena air pasang besar sudah lama tidak berlaku lagi di kawasan itu.
“Selalunya ia berlaku apabila air pasang disertai hujan lebat luar biasa, terutamanya ketika musim tengkujuh.
“Sebelum ini air pasang besar yang melanda, boleh mencapai paras sehingga 0.5 meter dan memasuki rumah penduduk, tapi kali ini ia masih normal,” katanya.
Menurutnya, dia berasa lega apabila kejadian malam kelmarin hanya air pasang biasa dan tidak disusuli hujan lebat.
Katanya, walaupun keadaan tidak serius, dia tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan meletakkan kenderaannya di bahu jalan utama bagi memudahkan urusan keluar masuk sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
0 comments:
Post a Comment