Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 4, 2016

[KUANTAN] DUA LELAKI DICEKUP MILIKI DADAH


Dua lelaki dicekup miliki dadah


Dua lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah secara kecil-kecilan diberkas di dua lokasi berasingan di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, tangkapan pertama dilakukan anggota tugas Bit Balai Polis Kuantan melibatkan suspek berusia 22 tahun di belakang sebuah pasaraya di Jalan Tun Ismail di sini kira-kira jam 1 tengah hari, kelmarin.

Menurutnya, anggota terlibat yang sedang melakukan tugas ronda cegah jenayah bertindak menahan suspek untuk pemeriksaan setelah didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan ke atas suspek membawa kepada penemuan kotak rokok mengandungi tiga plastik lutsinar disyaki dadah yang berada di dalam genggamannya,” katanya.

Sementara itu, dalam tangkapan berasingan, seorang lelaki warga tempatan berusia 24 tahun turut diberkas selepas bertindak melarikan diri daripada anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Jaya Gading.

“Suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan sebelum itu cuba ditahan untuk pemeriksaan kira-kira jam 2.20 pagi ketika berada di hadapan sebuah pasar raya di Batu 6, Jalan Gambang di sini.

“Terkejut dengan kehadiran polis, suspek bertindak melarikan diri dan dilihat cuba mencampakkan sesuatu,” katanya.

Abdul Aziz berkata, suspek cuba bertindak agresif namun berjaya ditahan setelah berlaku pergelutan.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui satu kotak rokok mengandungi satu keratan plastik jernih berisi hablur disyaki dadah jenis syabu,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dibawa balik ke balai untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

"Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek berusia 22 dan 24 tahun itu mendapati kedua-duanya positif dadah jenis amphetamine.

“Pada masa sama, kita turut melakukan siasatan bagi mengenal pasti bekalan dadah itu diperoleh selain kemungkinan suspek terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di daerah ini atau sebaliknya,” katanya.


0 comments:

share2