Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 29, 2016

KENYATAAN ARAB SAUDI TANGKIS DAKWAAN TERHADAP PM


Najib


Putrajaya - Pengesahan tentang sumbangan Arab Saudi berhubung dana yang dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sudah cukup untuk menangkis dakwaan terhadap perdana menteri, menurut seorang penganalisis.

Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain, dari Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata kenyataan sumber berpengaruh Arab Saudi yang mengesahkan mengenai sumbangan dana itu seharusnya menghentikan segala tuduhan tidak berasas oleh pelbagai pihak terhadap Najib sebelum ini.

Laporan Perbadanan Penyiaran British (BBC) memetik sumber yang tidak mahu dinamakan yang menyebut bahawa sumbangan wang itu dibuat atas arahan Raja Arab Saudi Almarhum Raja Abdullah dengan menggunakan wang peribadi dan dana negara.

Kenyataan itu antara lain mengesahkan bahawa dana berkenaan pernah dimasukkan ke dalam akaun Najib sebagai langkah membantu Najib memenangi pilihan raya umum 2013 kerana Arab Saudi bimbang dengan penularan pengaruh pergerakan Ikhwanul Muslimin.

Mohd Izani berkata: "Kalau sumber kerajaan Arab Saudi mengesahkan bahawa ada memberi dana kepada perdana menteri, maka jawapan yang telah diberi perdana menteri sebelum ini juga benar, bahawa beliau ada menerima dana dari Timur Tengah.

"Dari segi tujuannya, tidak perlu dipersoalkan lagi kerana apa yang jelas ia hanya dana dan tidak mempunyai syarat timbal balik. Ini tidak perlu diragui lagi. Ada pihak sengaja nak memburukkan imej perdana menteri dengan menuduh tanpa asas," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Mohd Izani berkata bukan sesuatu yang pelik untuk sesebuah parti politik memperoleh dana asing.

"(Pemberian dana) ini juga mungkin berdasarkan hubungan baik yang dijalin Kuala Lumpur dan Riyadh," katanya.

Mengenai keputusan Najib memulangkan semula RM2.03 bilion kepada penyumbang berkenaan, Mohd Izani berkata ia terserah kepada Najib untuk berbuat demikian.

"Perdana menteri boleh untuk menerima dan menolak. Mungkin pemulangan itu, (sebab) perdana menteri merasakan tidak ada keperluan untuk menggunakannya lagi," katanya.

BBC dalam laporannya pada Rabu memetik sumber berpengaruh Arab Saudi sebagai berkata: "Tujuan sumbangan ini sangat mudah, membantu Najib memenangi pilihan raya, mendapatkan khidmat pasukan komunikasi strategik yang berpengalaman di

peringkat antarabangsa, menumpukan kepada wilayah tertentu terutamanya di Sarawak, selain menaja program sosial melalui kempen parti".

Pada Selasa, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali memberitahu sidang akhbar bahawa tiada apa-apa kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan siasatan kes SRC International dan dana RM2.6 bilion yang didakwa didepositkan ke dalam akaun bank perdana menteri.

Mohamed Apandi berkata siasatan mendapati amaun yang didepositkan adalah sebanyak RM2.08 bilion, dan ia adalah sumbangan peribadi daripada kerabat diraja Arab Saudi pada 2013.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM2.03 bilion telah dikembalikan semula kepada penyumbang pada tahun yang sama.


0 comments:

share2