Air mentah dibekalkan ke Selangor bebas daripada pencemaran bauksit, tegas Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak.
Beliau berkata, air yang dibekalkan ke Selangor berpunca dari kawasan sekitar Pahang Barat seperti Raub dan Bentong, jauh daripada lokasi perlombongan bauksit di Kuantan.
“Air ini ditakung di Empangan Kelau sebelum dilepaskan ke Sungai Semantan dan dipam ke terowong yang menyalurkannya ke Sungai Langat. Isu bauksit tidak ada kena-mengena kerana ia kawasan tadahan berbeza,” katanya di sini, semalam.
Mohd Soffi diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini bahawa Kerajaan Selangor sedang mengkaji tahap kualiti air yang dibeli dari Pahang kerana dikhuatiri tercemar bauksit.
Mohamed Azmin berkata, kajian selama dua bulan itu perlu bagi memastikan kerajaan negeri itu tidak menanggung kos merawat air mentah yang tinggi jika tercemar.
Mohd Soffi berkata, tiada keperluan untuk Selangor mengkaji tahap kualiti air kerana perkara itu telah dinyatakan dengan cukup terperinci dalam perjanjian yang ditandatangani kedua-dua pihak.
Perjanjian itu menyatakan, kualiti air yang hendak dibekalkan mestilah memenuhi piawaian yang ditetapkan termasuk memenuhi standard dan pematuhan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tambahnya.
“Untuk menjual air, kami lakukan ujian di Empangan Kelau. Di loji air Mempateh juga ada operator Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) melakukan ujian.
“Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) juga akan melakukan ujian terhadap air yang diterima dari Pahang. Jadi saya tidak nampak ada keperluan untuk mengkaji semula perjanjian kerana semuanya sudah teratur,” katanya.
Mohd Soffi juga memberi jaminan Kerajaan Pahang tidak pernah berkrompromi dengan kesihatan orang awam dan sentiasa memastikan kaedah rawatan dan sumber air mengikut prosedur operasi standard (SOP).
“Air yang sama juga dibekalkan kepada penduduk di kawasan Pahang Barat, jadi tidak boleh dikatakan kami ambil ringan isu ini. Jika tahap kekeruhan air melebihi 1,000 NTU (Nephelometric Turbidity Units), maka loji air akan ditutup,” katanya.
0 comments:
Post a Comment