Biarpun tugas getir menanti Tok Gajah, pengendali pasukan, Zainal Abidin Hassan tetap optimis dengan peluang yang dimiliki untuk melangkah ke pentas final Piala Malaysia musim ini.
Berdepan The Red Giants untuk aksi timbal balik separuh akhir di Stadium Shah Alam malam ini, bekas pemain kebangsaan itu meletakkan keyakinan tinggi terhadap anak-anak buahnya untuk menggalas misi Pahang.
Menurutnya, tiada yang mustahil untuk memastikan misi tersebut tercapai walaupun lawan memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.
“Memang tugas berat bakal menanti kami di tempat lawan memandangkan lawan berjaya mengikat Pahang tanpa jaringan yang dilihat Selangor kini memiliki kelebihan.
“Namun, tidak mustahil untuk pemain saya apabila beraksi di Shah Alam kerana Pahang pernah melakukannya iaitu menewaskan Selangor pada aksi Liga Super,” katanya, semalam.
Zainal Abidin menuntut komitmen tinggi daripada pemain untuk menggalas tugasan yang diberikan untuk mengatasi Selangor.
“Komitmen tinggi dan disiplin dua kali ganda perlu dipersembahkan pemain pada malam esok (ini) selain memanfaatkan peluang terhidang di depan mata sebaik mungkin,” katanya.
Dalam pada itu, pengendali berusia 53 tahun itu meletakkan keyakinan terhadap gandingan duo penyerangnya, Dickson Nwakaeme dan Matias Ruben Conti lebih berbisa untuk merobek gawang Selangor.
“Kerugian yang dialami apabila gagal menghasilkan gol perlu diatasi selepas terlepas banyak peluang di laman sendiri pada Rabu lalu.
“Begitu juga jentera tengah yang perlu lebih agresif dan membantu jentera serangan untuk mendapatkan gol dan apa yang perlu dilakukan semua pemain adalah melakukan kebangkitan,” katanya.
Tok Gajah yang juga juara bertahan selepas merangkul piala berprestij itu pada musim 2013 dan 2014 hadir ke Shah Alam tanpa bekalan selesa selepas sekadar terikat tanpa jaringan pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Makmur di sini, Rabu lalu.
0 comments:
Post a Comment