Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, December 4, 2015

[TEMERLOH] JADI PENGELUAR UTAMA MADU KELULUT, LADA HITAM


Jadi pengeluar utama madu kelulut, lada hitam


Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Temerloh akan berusaha memainkan peranan membantu Kampung Bukit Kelulut menghasilkan produk madu kelulut dan lada hitam sebagai produk komersial kedua selepas ikan patin.

Pengerusinya, Abu Hanipah Majid berkata, sehubungan itu, kerjasama semua jabatan dan agensi kerajaan terutama sekali Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh dapat mencari kaedah supaya industri kedua ini berterusan maju seperti produk ikan patin.

Menurutnya, sebagai permulaan seramai 20 pengusaha madu kelulut yang dikelolakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Kelulut akan mula mengusahakan produk itu secara komersial di kampung tersebut.

“Pengusaha madu kelulut ini disertai oleh ahli unit peladang Bukit Kelulut sekali gus akan menjadi contoh kepada unit peladang kawasan lain untuk turut sama terlibat dalam perusahaan tersebut,” katanya ditemui selepas majlis perasmian Seminar Sehari Tanaman Lada Hitam dan Ternakan Lebah Madu Kelulut di sini semalam.

Seminar itu dirasmikan Ketua Penolong Pegawai Daerah Temerloh Muhammad Amin Safie.

Abu Hanipah berkata, satu lagi produk yang diharap mampu menjadikan kampung ini terkenal ialah lada hitam yang akan ditanam di kawasan berkeluasan 2.8 hektar secara komersial.

Beliau berkata, projek tanaman ini yang dibantu Lembaga Lada Malaysia, Jabatan Pertanian Pahang dan Lembaga Pertubuhan Peladang juga diharap menjadi contoh kepada kawasan lain untuk terlibat sama.

Menurutnya, Kampung Bukit Kelulut akan menjadi pengeluar lada hitam dan madu kelulut secara serentak dan diharap mampu menjadikan produk tersebut yang kedua popular selepas ikan patin.

“Kita sangat berharap pentadbiran daerah dapat membantu merealisasikan hasrat penduduk Bukit Kelulut untuk menjadi pengeluar dua produk utama itu.

“Sekiranya ingin mencari kelainan, pengusaha madu kelulut dan lada hitam ini juga mungkin boleh menghasilkan produk usaha sama seperti campuran madu kelulut dengan lada hitam yang mungkin ada khasiat tersendiri.

“Ini semua boleh dihasilkan sekiranya kita terima bantuan dan perhatian daripada pentadbiran daerah khususnya Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh,” katanya.


0 comments:

share2