Kuala Lumpur - Perwakilan Umno Kelantan menegur bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara lantang agar tidak 'memukul' parti sampai separuh mati.
Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, Umno masih gagal bangkit di negeri itu sehingga hari ini gara-gara serangan Tun Mahathir yang berterusan kepada pimpinan dan parti.
"Orang Kelantan hadapi masalah besar akibat percanggahan dan pergaduhan dua tokoh besar Umno, Tun Mahathir dan Tengku Razaleigh, akhirnya Umno diharamkan. Tapi yang menerima akibat paling besar, Kelantan. PRU pada 1990 Umno dapat kosong (kerusi) kerana dua pemimpin besar bergaduh dan tidak berbaik. Kita tidak boleh lagi bergaduh demi mempertahankan Melayu dan Islam.
"Tun Mahathir kena ingat, kita kena ingat. Kelantan tidak bangkit-bangkit sehingga akhirnya tahun 2004 kita hampir bangkit dapat 22 kerusi kurang 1 kerusi, dua undi untuk memerintah.
"Saya ingat 2008, kita boleh bangkit, tapi Tun Mahathir balun lagi. Dia balun Umno, perdana menteri, kita semua akhirnya kita hilang majoriti dua per tiga," katanya pada sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden, di Perhimpunan Agung Umno (PAU), di sini, semalam.
Beliau juga mengumpamakan bahawa Tun Mahathir boleh 'memukul' parti namun ia harus berpada.
"Kita nak pukul anak boleh. Tradisi kita orang Melayu. Tidak semua tradisi boleh kita kekalkan. Kalau anak salah, kita pukul.
"Tapi bila kita pukul, janganlah sampai separuh mati. Nak tegur boleh. Nak tampar boleh tapi bukan tampar hari-hari.
"Kalau nak kekalkan tradisi itu, ada kalanya ia berubah bersesuaian dengan masa," katanya.
Dalam ucapan sama, beliau turut menegur Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Umno, dipercayai dituju kepada Datuk Seri Shafei Apdal.
"Tahun lepas saya sebut kepada Ijat (Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil) dua patah perkataan sahaja. 'Berdamailah dengan diri' dan 'fullstop'. Alhamdulillah tahun ini Ijat, anda sudah damai. Teruskan perjuangan.
"Tahun ini, saya nak kata kepada timbalan presiden dan naib presiden, berdamailah dengan diri, Insya-ALLAH kita selamat," katanya.
Beliau juga menyindir Muhyiddin bahawa bekas timbalan perdana menteri itu tidak boleh bersuara di tempat lain hingga mengkucar-kacirkan ahli Umno.
"Boleh melaungkan azan di tengah padang hanya kerana pembesar suara di masjid rosak. Nak azan, bila masuk waktu baru boleh, kena ikut tekniknya. Begitu juga kita dalam parti. Tak boleh pakai hentam saja ikut perasaan kita. Azan mesti dalam masjid.
"Saya ingat silap Tan Sri sedikit sahaja. Tan Sri timbalan (presiden)...dia bilal. Dia pergi azan tidak dalam masjid, mikrofon rosak. Dia pergi azan tengah padang. Padang Merbok ke padang mana, tak tahulah. Apabila azan tengah padang Tan Sri, orang silap pergi sembahyang di situ. Imam tunggu di masjid ini...'this is (ini ialah) Dewan Merdeka'.
"Salah azan, orang kelam kabut. Tak boleh, betulkan balik. Esok, azan di masjid. Azan betul. Ini contoh paling mudah dalam kehidupan. Itu saja silap. Tak ada silap lain. Suara kita mesti sama. Boleh ada ikhtilaf," katanya.
0 comments:
Post a Comment