Kota Bharu - Hubungan kerjasama yang dihulurkan Umno kepada Pas akan dibincangkan dan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti (Pas), kata Timbalan Mursyidul Am Pas Datuk Ahmad Yakob semalam.
Ahmad berkata, kerjasama antara parti ini adalah perkara besar serta melibatkan dua dasar parti yang berlainan dan perlu juga dibawa ke muktamar Pas.
"Kerjasama dari segi politik, saya tidak boleh komen kerana ini mesti mari (datang) daripada pucuk pimpinan (Pas).
"Bagaimana pun saya mengharapkan dari segi kesedaran masyarakat Islam dan orang Melayu di negara ini mestilah semakin baik terutama untuk meletakkan Islam di tahap yang tertinggi dalam semua perkara," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Wakaf Baharu, Tumpat.
Ahmad diminta mengulas tawaran Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini yang menghulurkan "tali silaturahim" kepada Pas untuk sama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam sebenarnya.
Najib, yang juga Perdana Menteri melahirkan rasa gembiranya kerana Pas tidak lagi bersama pakatan pembangkang selepas "disepak dan diterajang keluar" oleh rakan-rakan pembangkangnya.
Najib berkata demikian dalam ucapan dasarnya semasa merasmikan Perhimpunan Agung Umno 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata hubungan kerjasama antara Kerajaan Kelantan dan Kerajaan Persekutuan adalah baik dan sedang dipertingkatkan lagi.
"Kerjasama telah wujud sejak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi menteri besar Kelantan, sekarang ini saya meningkatkan lagi kerjasama tersebut," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata penjelasan berhubung tawaran jalinan kerjasama daripada Umno itu akan dibuat oleh Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Hanya Presiden yang akan membuat kenyataan berhubung perkara ini...kerana kita tidak mahu timbul sebarang kekeliruan," katanya.
0 comments:
Post a Comment