Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, December 24, 2015

PAKAIAN SEKOLAH SEMURAH RM8


Pakaian sekolah semurah RM8


Bandar Kuala Kangsar - Pakaian seragam sekolah yang dihasilkan dengan fabrik berkualiti dijual dengan harga serendah RM8.

Itu tawaran harga runtuh diberikan sebuah pasar raya di sini yang mendapat sambutan hangat hingga menjadi viral dalam laman sosial.

Pengurusnya, Nur Akmal Mat Hussin berkata, pasar raya itu telah beroperasi selama 15 tahun dan pihaknya peka dengan beban yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa dalam menyediakan keperluan anak-anak, kesan daripada peningkatan kos sara hidup.

“Mungkin ada yang curiga dengan kualiti pakaian dijual sebab harga yang sangat murah tetapi kami beri jaminan, kualiti di sini amat baik.

"Tawaran murah ini juga merupakan cara kami beramal dan membantu masyarakat khususnya penduduk luar bandar. Pelanggan kini semakin bijak, mereka tahu untuk berbelanja di mana.

“Kita ada 84 cawangan di seluruh negara dan promosi ini dijalankan serentak di semua cawangan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Sementara itu, beberapa pelanggan yang ditemui mengakui terkejut dengan harga ditawarkan pasar raya terbabit.

Seorang pelanggan dari Subang Jaya, Selangor, Mohamad Jaafar Abd Hamid, 30, berkata, dia tahu mengenai promosi tersebut selepas diceritakan rakan-rakannya selepas ia menjadi viral dalam laman sosial.

Katanya, dalam keadaan ekonomi kini, tawaran seumpama itu tidak sepatutnya dilepaskan.

“Biasanya baju sekolah harganya lebih RM20 namun di sini cuma RM8, memang jauh bezanya.

“Kualiti juga amat bagus. Bila kita pegang, kainnya memang lembut, tidak kasar seperti baju murah lain. Sungguh berbaloi berbelanja di sini,” katanya.

Maniza Ahmad, 41, juga berpandangan sama dan dia berasa lega kerana mampu menyediakan pakaian sekolah berkualiti untuk anaknya.

“Baju kurung di kedai lain ada mencecah RM60 namun di sini harganya dalam lingkungan RM40, agak jauh bezanya berbanding di sini.

“Bila harga tinggi, ibu bapa terpaksa mencari inisiatif lain bagi membeli keperluan sekolah. Cara saya, saya akan mencari kedai yang menawarkan harga murah.

“Mujur di Kuala Kangsar ada kedai sebegini. Jadi, perbelanjaan untuk keperluan sekolah anak-anak masih dalam bajet disebabkan harganya berpatutan,” katanya.


0 comments:

share2