Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, December 24, 2015

MANGSA TRAUMA, POWER BANK PUNCA KEBAKARAN


Mangsa trauma, power bank punca kebakaran


Gemas - Seorang remaja kini trauma untuk menggunakan power bank susulan kebakaran yang memusnahkan bilik tidurnya di Desa e-Kaseh Londah, di sini, petang kelmarin dipercayai berpunca daripada perkakas elektronik berkenaan.

Munirah Abdullah, 21, berkata, ketika kejadian dia tidak berada di rumah kerana pergi ke kedai berdekatan membeli barang, sebelum dia keluar jam 6.25 petang, rakannya mengecas power bank berkenaan kerana mahu membawanya ke tempat kerja.

Menurutnya, kira-kira jam 6.40 petang, dia mendapat panggilan dari ibu rakannya yang menyatakan rumahnya terbakar dan menyuruhnya segera pulang ke rumah.

“Sebaik sampai rumah, api dah padam sebab jiran datang bantu tapi dalam bilik saya, semua barangan rosak dan mencair termasuk telefon kesayangan saya, Samsung Galaxy Y pink yang saya beli guna duit simpanan waktu umur 13 tahun.

“Masa keluar rumah tu, hanya power bank sahaja yang dicas dalam bilik saya dan peralatan elektrik yang lain dah dimatikan suisnya. Kata rakan saya, power banknya itu kadang elok kadang tak boleh digunakan, tapi tak sangka pula boleh jadi kebakaran macam ini,” katanya.

Munirah berkata, pasukan bomba datang memeriksa rumahnya pagi semalam dan mengambil power bank berkenaan untuk siasatan, malah kami juga dinasihatkan untuk berhati-hati menggunakan alat elektronik berkenaan.

Buat masa ini, dia dan ibunya, Rohani Omar, 49, serta seorang lagi adik, Mohd Amirul Imran, 20, yang juga orang kurang upaya (OKU) tinggal menumpang di rumah jirannya kerana bekalan elektrik di rumah mereka diputuskan buat sementara waktu.

Rumah berkenaan dianggarkan mengalami kebakaran sebanyak 40 peratus.


0 comments:

share2