Kawasan pelancongan Air Terjun Pelangi ditutup sepenuhnya kepada pelancong mulai hari ini sehingga 31 Januari tahun depan bagi mengelakkan berlakunya kemalangan jiwa ketika musim tengkujuh.
Pegawai Perhutanan Jabatan Hutan Kuantan/Pekan/Maran, Mohd Khairul Anuar Ibrahim mengesahkan penutupan air terjun pelangi bermula 7 Disember demi keselamatan pengunjung.
Bagaimanapun, katanya, jika musim hujan tidak berlanjutan, Pejabat Perhutanan akan menimbang untuk membuka semula destinasi pelancongan berkenaan.
“Kita akan pasang notis pemberitahuan kepada orang ramai dan mengunci pagar masuk esok (hari ini),” katanya.
Difahamkan, sebanyak 26 hutan lipur dan taman negeri mulai ditutup pada 1 November lalu selama tiga bulan pada musim tengkujuh.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Lembing, Tang Siew Fong berkata, pihaknya menyambut baik penutupan air terjun pelangi pada musim tengkujuh.
Menurutnya, sebelum ini, kerajaan negeri memutuskan untuk menutup kawasan pelancongan terkenal itu pada 1 November lepas tetapi keadaan cuaca baik dan jalan masih boleh dilalui menyebabkan penutupan ditunda.
“Penutupan kawasan hutan lipur dan hutan taman negeri mula berkuat kuasa tahun ini kerana pihak berkuasa tidak mahu berlaku sebarang kemalangan atau bencana membabitkan pengunjung," katanya.
Beliau berkata, Air Terjun Pelangi adalah antara kawasan yang sentiasa dipilih oleh pelancong kerana keindahan panoramanya selain flora dan fauna yang unik.
0 comments:
Post a Comment