Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, December 1, 2015

[KUANTAN] FAMA AGIH KIT BANTUAN BANJIR


Fama agih kit bantuan banjir


Sebanyak 28,000 kotak pelbagai jenis makanan akan diagihkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) sebagai permulaan agihan bekalan makanan untuk mangsa banjir yang berada 657 pusat pemindahan di negeri ini.

Peruntukan bekalan makanan itu diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri yang menetapkan hanya ketua keluarga sahaja yang layak menerima bekalan makanan tersebut membabitkan 16 jenis makanan seperti biskut, bubur segera, sambal bilis, air mineral, bijirin oat segera, sardin dan mee cawan segera.

Pengurus Operasi Fama Kuantan, Shabuddin Mohd Nor berkata, JKM telah menugaskan pihaknya supaya menyediakan bantuan makanan permulaan kepada mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan banjir di setiap daerah.

“Bantuan ini diberikan bagi memastikan mangsa banjir tidak berhadapan dengan masalah makanan ketika berada di pusat pemindahan terutama di peringkat awal pusat pemindahan dibuka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas memantau penyediaan dan penghantaran kit makanan permulaan di pejabat Fama negeri, semalam.

Menurutnya, pada fasa pertama sebanyak 17,000 kotak atau kit ditempatkan di pejabat Fama daerah sebelum diagihkan ke pusat pemindahan apabila keadaan memerlukan sebagai bantuan makanan permulaan.

“Kita akan menghantar bantuan ke setiap pusat pemindahan seluruh negeri apabila mendapat arahan daripada JKM, agihan hanya dilakukan oleh pegawai JKM yang bertugas di setiap pusat pemindahan.

“Untuk memastikan tiada sebarang masalah ketika banjir, langkah pertama dilakukan Fama dengan mengagihkan 100 kit ke setiap daerah, sekiranya JKM mengarahkan tambahan dibuat kita akan menambah secara berperingkat,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, setiap satu kit yang diberikan kepada ketua keluarga berharga RM70.

Tambahnya lagi, JKM juga akan bertanggungjawab menguruskan pusat pemindahan banjir dan Fama juga akan menawarkan bekalan barangan basah seperti sayur, bawang dan ubi kentang ketika banjir berlaku.

“Kita akan menyediakan barangan basah apabila JKM bersetuju dengan harga yang ditawarkan, untuk kemudahan petugas Fama akan menghantar bekalan ke pusat pemindahan banjir yang ditetapkan,” katanya.


0 comments:

share2