Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, December 9, 2015

CABARAN LAHIRKAN PEMIMPIN MUDA


Cabaran lahirkan pemimpin muda


Segamat - Dasar Belia Negara baharu yang akan dilaksanakan kelak pasti memberi cabaran kepada semua pihak terutama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam menyediakan golongan belia di bawah umur 30 tahun sebagai pemimpin belia.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Abd Aziz Abd Rahman berkata, walaupun dasar menetapkan had umur belia 15 hingga 30 tahun masih belum dibawa ke Parlimen, pihak terlibat seharusnya memandang berat usaha melahirkan pemimpin muda.

“Saya harap pemimpin persatuan belia di semua peringkat boleh memulakan proses mengenal pasti seterusnya mendidik dan mengetengahkan mereka yang berpotensi sebagai pemimpin pelapis.

“Setiap kali belia negara ini menyertai forum atau program di peringkat antarabangsa, kita berdepan masalah umur kerana peserta luar terutama dari negara maju berusia sekitar belasan tahun kerana had umur belia di negara mereka lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa Program Townhall Daerah Segamat dan Bual Bicara Isu-Isu Terkini Berkaitan Belia di Pasaraya Kip Mart Segamat, di sini.

Turut hadir, Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Anuar Abdul Manap dan Presiden Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ), Manndzri Nasib.

Sementara itu, Anuar berkata, usaha melahirkan pemimpin muda memerlukan masa, namun bukan mustahil kerana ramai belia sama ada yang berpersatuan atau tidak memiliki kemampuan serta bakat kepimpinan.

“Golongan tersebut hanya memerlukan bimbingan serta peluang menonjolkan kemampuan mereka sebagai pemimpin, bukan setakat di peringkat persatuan, malah di peringkat lebih tinggi seperti negeri dan kebangsaan.

“Bagaimanapun, kedudukan ekonomi belia dalam lingkungan umur 20 hingga 30 tahun banyak mempengaruhi mereka untuk bergerak aktif dalam persatuan kerana mereka yang sibuk membina ekonomi selalunya tidak berminat melibatkan diri secara aktif dalam persatuan,” katanya.

Sementara itu, Manndzri berkata, semua pihak harus menilai tahap keyakinan belia negara ini berbanding dari luar negara dalam isu melibatkan had umur.

“Kita terpaksa mengakui, tahap kematangan dan keyakinan belia kita tidak sama belia negara luar. Mereka terdidik dengan gaya hidup dan persekitaran berbeza

“Dalam usia belasan tahun mereka pergi mengembara kerana mempunyai keyakinan tinggi selain mendapat kepercayaan keluarga,” katanya.


0 comments:

share2