Batu Pahat – Almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim terkenal dengan sikap penyayang dan prihatinnya terhadap rakyat.
Ia dibuktikan apabila Almarhum sempat menjenguk ibu seorang anggota polis yang terkorban dalam tragedi berdarah di Lahad Datu, Allahyarham Sarjan Abdul Azis Sarikon pada Mac, 2013 lalu.
Matrah Salim, 96, ibu kepada Allahyarham Abdul Aziz berkata, sebaik mendengar kejadian berlaku kepada anaknya yang terkorban semasa berjuang di Sabah, Almarhum terus menghubunginya sekeluarga dan menyatakan hasrat untuk bertemu.
Imbas kembali saat dikunjungi Almarhum Tunku Abdul Jalil di kediamannya di Kampung Punggor Darat, Rengit, Matrah masih ingat Almarhum memujuk dan memberi kata- kata semangat kepadanya yang pada masa itu begitu sedih atas pemergian anaknya.
"Almarhum pujuk makcik supaya reda dengan setiap ketentuan ALLAH.
“Almarhum sempat kata yang rakan karibnya, Allahyarham Koperal Mohd Azrul Tukiran turut terkorban dalam tragedi sama.
"Pujuknya lagi pemergian wira negara itu sesuatu yang cukup membanggakan kerana mempertahankan negara," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Hospital Pakar Putra, di sini, semalam.
Matrah berkata, dia tidak menyangka selepas beberapa tahun, Almarhum pula dijemput Ilahi.
"ALLAH cukup menyayangi orang yang baik-baik,” katanya dalam nada sebak.
Sementara itu, abang Allahyarham Abdul Aziz, Suradi Sarikon, 60, berkata, ketika menziarahi mereka sekeluarga, Almarhum Tunku Abdul Jalil sempat mengetuai bacaan tahlil serta Surah Yasin untuk Allahyarham adiknya.
“Almarhum berkunjung kira-kira sejam dan sempat bermesra dengan kami, seolah-olah kami ini sekeluarga, sedangkan itu kali pertama kami bertemu.
"Kami sekeluarga bangga mempunyai kerabat Diraja yang berjiwa rakyat," katanya.
0 comments:
Post a Comment