Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, December 24, 2015

BERSYUKUR KERANA PELANGGAN MURAH HATI


Bersyukur kerana pelanggan murah hati


Rantau Panjang - Sememangnya masyarakat atau pengguna mementingkan keselesaan ketika berbelanja termasuk mendapatkan perkhidmatan seperti gunting rambut, namun terdapat juga sebilangan masyarakat sanggup melupakan aspek keselesaan demi membantu golongan memerlukan.

Sepertimana berlaku di Kampung Bakat Hilir, sebilangan penduduk masih memilih khidmat gunting rambut daripada Shaari Mat Amin, 66, dengan niat membantu dan bersedekah, walaupun banyak kedai gunting rambut serba canggih dibuka di Rantau Panjang.

Shaari ketika ditemui mengakui, tidak ramai pelanggan sanggup menjejakkan kaki ke kedai guntingnya kerana dinding, bumbung dan lantai rosak teruk diserang anai-anai.

Namun demi kerana memikirkan rezeki, terutama untuk keperluan isterinya, Halimah Yusof, 87, yang terlantar sakit, Shaari tetap meneruskan kerja sebagai seorang tukang gunting sejak setengah abad lalu.

“Kehidupan saya bertambah perit apabila isteri saya diserang penyakit angin ahmar sejak sembilan bulan lalu. Semua kemudahan gunting rambut di kedai saya tak secanggih yang ada di kedai baharu, tapi saya bersyukur kerana ada pelanggan tak lokek serta gemar membantu.

“Saya tak mampu nak sediakan kelengkapan baharu, jadi saya guna kelengkapan lama yang sama usianya dengan bangunan saya bina ini,” katanya.

Kedai gunting rambut milik Shaari dibina bersebelahan rumahnya bagi memudahkan dia berulang alik untuk menjaga Halimah.

Katanya, memandangkan tiada anak, dia bergantung harap dengan ipar dan anak tirinya untuk membantu.

“Dengan bantuan daripada masyarakat setempat, saya baru sahaja isi borang mohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.


0 comments:

share2