Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, December 2, 2015

BANJIR TIGA KALI SETAHUN


Banjir tiga kali setahun


Selinsing - Serangan banjir sebanyak tiga kali dalam setahun menyebabkan pendapatan hasil ladang sawit milik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Selinsing/Semanggol terjejas teruk iaitu hampir 70 peratus tahun ini.

Pengerusinya, Abdul Rahman Hamid berkata, sejak 10 tahun lalu bencana itu kerap melanda ladang sawit seluas 44 hektar di Batu 38, Bukit Merah itu berpunca daripada lokasinya terletak berhampiran Sungai Kurau yang berasal dari Kolam Bukit Merah.

Menurutnya, setiap kali berlaku perlepasan air Kolam Bukit Merah ke Sungai Kurau melebihi bacaan 150 meter padu sesaat, ladang sawit berkenaan pasti akan ditenggelami air yang melimpah dari sungai tersebut.

“Setiap kali ladang dilanda banjir, air mencecah paras dada menyebabkan pekerja ladang sukar mengutip buah sawit yang masak meskipun dibekalkan sampan.

“Kerja memindahkan buah sawit menjadi sukar kerana pekerja kami terdedah kepada ancaman binatang berbisa selain keadaan ladang dipenuhi air,” katanya kepada media di ibu pejabat PPK Selinsing/Semanggol semalam.

Turut hadir, Pengurus Besar PPK Selinsing/Semanggol, Mohd Faizul Shafie dan Setiausaha Umno bahagian Bagan Serai, Zulkarnain Ismail.

Abdul Rahman berkata, kekerapan banjir menyebabkan hasil sawit yang dikutip pada tahun ini mencatatkan kemerosotan mendadak iaitu hampir 70 peratus.

Menurutnya, banjir berlaku pada November ini menyebabkan mereka hanya peroleh 20 tan metrik sawit, sedangkan purata kutipan hasil sawit setiap bulan sebanyak 102 tan metrik.

“Jika tiada masalah banjir, kami mampu memperoleh pendapatan bulanan RM42,000 daripada hasil ladang di Batu 38, Bukit Merah.

“Namun setiap kali banjir berlaku, pendapatan bulanan diraih hanya RM6,000 dan kemerosotan ini menjejaskan operasi PPK Selinsing/Semanggol,” katanya.

Perlu tanggung kos pengurusan

Abdul Rahman berkata, jika masalah banjir berulang, operasi PPK Selinsing/Semanggol dianggotai 3,000 ahli dan mempunyai pegangan saham RM1.6 juta berdepan risiko lumpuh memandangkan perlu menanggung kos belanja pengurusan sebanyak RM41,000 sebulan.

Jelasnya, hasil ladang di Batu 38, Bukit Merah merupakan sumber pendapatan utama PPK memandangkan ia meliputi 70 peratus daripada keseluruhan keluasan ladang sawit dimiliki mereka di sekitar daerah Kerian dan Batu Kurau.

“Jika berlalu kerugian, kami tidak mampu bayar dividen tahunan kepada ahli, malah perlaksanaan program meliputi pelbagai aspek direncanakan untuk kepentingan ahli turut terbantut.

“Kebimbangan paling besar adalah ahli dan pelabur PPK Selinsing/Semanggol berasa tidak puas hati selain bertindak menarik balik pelaburan mereka pada masa hadapan,” katanya.

Abdul Rahman berkata, selain berdepan kemerosotan hasil sawit, PPK Selinsing/Semanggol perlu menanggung kos membaik pulih infrastruktur, kerja pembersihan ladang dan kos pembajaan semula pokok sawit yang mencecah RM50,000 setiap kali banjir pulih.

Abdul Rahman turut mempersoalkan keberkesanan perlaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Kerian kerana bencana itu masih berlaku seperti biasa meskipun kerja pembinaan hampir siap 96 peratus.

“Sepatutnya pada peringkat RTB hampir disiapkan, kesan banjir kepada penduduk dapat dikurangkan sekurang-kurangnya 60 peratus.

“Namun, kami melihat perlaksanaan RTB tidak memberi sebarang impak dan seolah-olah tidak menyelesaikan masalah banjir di Kerian,” katanya.

Gesa JPS cari jalan penyelesaian

Manakala Mohd Faizul menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mencari jalan bagi memastikan air lepasan Kolam Bukit Merah tidak melimpah dari Sungai Kurau dan membanjiri ladang sawit milik PPK dalam tempoh segera.

Menurutnya, cadangan mewujudkan sebuah pam air kekal di Kampung Batu 38, di sini dilihat tidak praktikal kerana air yang bertakung dipam akan dialirkan semula ke sungai.

“Kami berpendapat masalah banjir melibatkan kawasan berhampiran Sungai Kurau disebabkan sungai itu kini cetek dan diperlu didalamkan dengan segera.

“Perkara ini sering dikemukakan kami kepada agensi kerajaan terlibat, namun sehingga kini tiada tindakan susulan diambil,” katanya.

Mohd Faizul berkata, di sebalik kekangan kewangan dihadapi, PPK Selinsing/Semanggol masih memberikan sumbangan kepada mangsa banjir di Parlimen Bagan Serai ketika ini.

Menurutnya, kerajaan dan JPS diminta mempertimbangkan pembayaran pampasan dengan nilai bersesuaian kepada PPK kerana kerugian berlaku melibatkan kepentingan awam.

“Kami berharap masalah dihadapi kami diambil berat semua pihak secara serius memandangkan ini melibatkan kepentingan awam,” katanya.

Adun minta kaji semula RTB

Sementara itu, Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat berkata, pihaknya bersimpati dengan kesulitan dialami PPK Selinsing/Semanggol dan menggesa JPS menilai semula keberkesanan perlaksanaan projek RTB yang disiapkan.

Katanya, JPS perlu mengambil kira pelbagai faktor sebelum menyelesaikan pembinaan RTB termasuk usaha mendalamkan sungai utama yang semakin cetek ketika ini.

“Selain itu, JPS perlu turun padang dan mendengar pandangan penduduk bagi mendapatkan perspektif berbeza untuk kerja-kerja penambahbaikan RTB di Kerian.

“Kita tidak mahu apabila projek RTB disiapkan kelak, banjir tetap berlaku seperti biasa dan rakyat akan mempersoalkan ketelusan kerajaan dalam perlaksanaan projek ratusan juta ringgit itu,” katanya.


0 comments:

share2