Satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi memantau masalah Projek Ternakan Ikan Air Tawar Berkelompok Kampung Pandan 2 di Zon Industri Akuakultur (ZIA).
Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, jawatankuasa itu akan melibatkan semua agensi berkaitan untuk membincangkan semua permasalahan dan perancangan masa hadapan untuk projek ternakan tersebut.
Menurutnya, kolam ternakan yang sudah wujud lebih 20 tahun lalu itu sudah berjaya mengeluarkan hasil yang menggalakkan malah sudah mempunyai pasaran tersendiri.
“Projek ternakan ikan tawar ini berjaya dipasarkan kepada peniaga di sekitar negeri ini dan kita berbangga dengan pencapaian tersebut.
“Bagaimana pun, saya dimaklumkan peserta projek ternakan berdepan dengan masalah terutama pada musim banjir kerana kolam mereka ditenggelami air banjir selain masalah pengairan ke kolam terbabit,” katanya ketika melawat Projek Ternakan Ikan Air Tawar Berkelompok Kampung Pandan 2, semalam.
Shafik Fauzan berkata, melalui jawatankuasa yang akan membabitkan agensi seperti Jabatan Perikanan dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu akan membincangkan langkah-langkah untuk menangani masalah itu secara berperingkat.
Beliau berkata, industri ternakan ikan air tawar itu perlu dijaga rapi memandangkan industri itu berjaya mengeluarkan hasil yang baik pada setiap tahun.
“Saya harap semua agensi di dalam jawatankuasa tersebut dapat duduk semeja dan mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah ini,” katanya.
Sementara itu, Adun Panching, Datuk Mohd Zaili Besar berkata, langkah mengatasi perlu diambil memandangkan setiap tahun peserta projek ternakan itu berdepan dengan kerugian kerana banjir.
Selain masalah banjir, beberapa kemudahan infrastruktur perlu ditambah baik seperti jalan masuk ke kawasan tersebut dan sistem pengeluaran ikan berjadual.
“Mungkin pihak Per-tubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang bertanggungjawab boleh memberi khidmat nasihat kepada peserta mengenai pengeluaran ikan sebelum musim tengkujuh supaya mereka tidak mengalami kerugian,” katanya.
0 comments:
Post a Comment