Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 21, 2015

[KUANTAN] MPK BEKU CUTI KAKITANGAN


MPK beku cuti kakitangan


Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) membekukan cuti 1,400 kakitangannya bermula 1 Disember depan sebagai persediaan bagi menghadapi banjir besar di Pahang.
Yang Dipertuanya, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, pembekuan kakitangan melibatkan semua jabatan dalam tempoh sebulan. 

"Ini dilakukan bagi memastikan pihak kita dapat menggerakkan kekuatan tenaga yang ada pada bila-bila masa,” katanya pada sidang media selepas berakhirnya taklimat mengenai penambahbaikan urusan pengeluaran permit pembinaan (DCP) yang dilaksanakan menerusi pusat sehenti (OSC) 3.0, semalam.

Zulkifli berkata, pihaknya akan bertanggungjawab menyelia jawatankuasa pemindahan dan keselamatan banjir negeri dan daerah dengan mengerahkan keseluruhan tenaga bagi membantu mangsa yang terlibat berdasarkan kepakaran masing-masing.

“Selain kekuatan tenaga, MPK turut menyediakan sebuah bilik mesyuarat di UTC untuk dijadikan sebagai bilik gerakan banjir di negeri sepanjang musim tengkujuh itu nanti.

“Kita turut menyediakan kemudahan pengangkutan seperti lori untuk membantu agensi terlibat dalam kerja pengagihan bantuan kepada mangsa banjir kelak,” katanya.

Dalam pada itu, katanya MPK membelanjakan hampir RM2 juta bagi tujuan penyelenggara longkang, manakala RM322,000 pula diperuntukkan untuk kerja pembersihan longkang monson.

“Peruntukan itu kita gunakan sepenuhnya untuk kerja-kerja menaik taraf dan menyelenggarakan sistem longkang sebagai langkah mengawal bencana banjir di daerah ini.

“MPK juga telah meminta agar Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya agar menyelia sistem perparitan dan saliran yang diselia olehnya bagi mengelak sebarang kemungkinan,” katanya.

Selain itu, Zulkifli berkata pihaknya akan mengedar risalah persiapan menghadapi banjir di beberapa kawasan perkampungan seperti Sungai Isap, Cenderawasih, Tanah Putih, Bukit Rangin dan sebagainya dalam masa terdekat.

Katanya, ini salah satu cara untuk mengingatkan orang ramai terutamanya di kawasan terjejas supaya mengambil langkah berjaga-jaga apabila tibanya musim tengkujuh.

Dalam perkembangan sama, MPK turut diumumkan sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang cemerlang oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dalam menambah baik urusan pengeluaran permit pembinaan (DCP) menerusi sistem OSC 3.0.

Katanya, sejak ia dilaksanakan tahun lepas, MPK berjaya mengendalikan dan meluluskan lebih 1,000 permohonan oleh pihak yang berkenaan atau “principal submitted person” (PSP).

Zulkifli berkata, menerusi sistem berkenaan, PSP tidak lagi perlu menunggu terlalu lama untuk menghantar atau mendapat kelulusan permohonan mereka kerana semuanya dilakukan menerusi online.

“Jika dahulu, PSP terpaksa menunggu dua atau tiga hari untuk permohonan mereka dilihat oleh MPK, namun kini permohonan tersebut boleh dilihat oleh MPK selepas diisi menerusi sistem OSC 3.0 dalam masa 15 minit,” katanya.

0 comments:

share2