Pengerusi DAP Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puji membuat laporan polis selepas menerima ancaman dengan bangkai seekor ayam digantung di pintu masuk dan kain rentang yang mengugut keselamatan keluarganya.
Zulpuri berkata, beliau yang tidak berada di pejabat pagi semalam, dimaklumkan pembantunya mengenai perkara itu dan menyifatkan tindakan dibuat pihak terbabit satu perkara yang serius.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi semalam, selepas orang ramai yang berada di luar pejabatnya memaklumkan kepada pembantunya Peter Ong ada kain rentang yang mengancam keselamatan beliau dan keluarga.
“Pembantu saya telah meminta beberapa rakan menurunkan kain rentang dan bangkai ayam yang digantung di jeriji besi pintu masuk pejabat,” katanya sewaktu dihubungi semalam.
Zulpuri berkata, kain rentang itu memberi maksud keluarganya akan bahaya jika beliau bertanding bagi jawatan pengerusi DAP negeri pada pemilihan DAP Pahang, 25 Oktober ini.
Beliau yang juga Adun Mentakab, berkata, selain kain rentang dan bangkai ayam, turut diterima adalah surat ancaman meminta tarik diri daripada bertanding yang diletakkan di pintu masuk pejabat terbabit.
Katanya, jika ingkar keselamatanya dan keluarga terancam.
“Pembantu saya telah lapor kepada polis dan saya sendiri perlu buat laporan serupa untuk pihak polis mengambil tindakan lanjut,” katanya.
0 comments:
Post a Comment