Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, October 23, 2015

[KUANTAN] CUCI BAUKSIT SECARA HARAM


Cuci bauksit secara haram


Dua kawasan mencuci bauksit di Felda Bukit Sagu 1 dan 3 di sini dipercayai beroperasi secara haram sehingga menyebabkan penduduk sekitar mengalami masalah bekalan air.

Kawasan seluas 30 ekar di Felda Bukit Sagu 1 yang didakwa baru beroperasi tiga bulan lalu dikatakan menggunakan aliran Sungai Taweh ke kawasan loji bagi tujuan membersihkan bahan mineral tersebut.

Operasi mengalirkan air sungai tersebut menyebabkan penduduk di Felda Bukit Goh menghadapi masalah bekalan air berikutan air sungai kering.

Adun Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah berkata, atas desakan dan aduan penduduk, beliau membuat lawatan kerja untuk melihat sendiri keadaan sebenar di situ.
“Penduduk berdepan dengan masalah bekalan air apabila air Sungai Taweh semakin kering dan intake air ke pam tidak sampai.

“Akhirnya, air tidak dapat di pam dan penduduk terus dihimpit dengan masalah bekalan air sehingga berhari-hari.

“Apa yang lebih dibimbangkan apabila tiba musim tengkujuh masalah banjir dijangka boleh berlaku kerana air sungai melimpah diikuti dengan air dari loji tersebut,” katanya.


Bekas lombong jadi tempat cuci bauksit

Kawasan loji yang dahulunya merupakan lombong bijih besi digunakan bagi tujuan mencuci dan memproses bauksit untuk dihantar ke pelabuhan.

Md Sohaimi berkata, air Sungai Taweh yang merupakan anak sungai dari Sungai Riau merupakan sumber bekalan air penduduk di Felda Bukit Goh.

“Saya bukannya menghalang perniagaan dan hasil bumi di kawasan ini untuk dikomersialkan, tetapi jika menyebabkan penduduk menghadapi masalah, perkara ini perlu diatasi dengan segera.

“Tambahan pula, penduduk dan peneroka kawasan Bukit Sagu ini tidak terlibat dengan aktiviti bauksit, tetapi mereka terdedahkan dengan masalah yang tidak mendatangkan keuntungan dan faedah,” katanya.

Lebih membimbangkan satu lagi kawasan mencuci bauksit seluas 50 ekar di Bukit Sagu 3 pula bakal beroperasi tidak lama lagi yang mungkin membawa masalah lebih besar pada penduduk.

Kawasan loji yang didakwa menggunakan air Sungai Rong untuk mencuci bahan mineral dikhuatiri membawa masalah banjir lebih teruk.

“Sekarang ini bukan musim tengkujuh pun banjir akan berlaku. Hujan lebat selama dua jam air akan naik dan mengambil masa lama untuk surut selepas kawasan loji di Bukit Sagu 3 ini di benteng.

“Bekalan air yang sering terputus mungkin disebabkan Sungai Rong dan Sungai Taweh yang diempang sehingga mengakibatkan loji air kekeringan, kegiatan ini disyaki dilakukan secara haram kerana tiada kelulusan selain ada masalah dari segi permit,” katanya.


Loji salah guna logo Jabatan Mineral dan Geosains

Loji berkenaan juga dipercayai menyalahgunakan logo Jabatan Mineral dan Geosains Pahang pada papan tanda masuk bagi melindungi kegiatan tidak bertanggungjawab mereka.

“Saya sudah melawat kedua-dua kawasan ini bersama pegawai daripada Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Mineral dan Geosains, Pengurusan Air Pahang Berhad serta Jabatan Alam Sekitar, sebelum perkara ini menjadi lebih buruk tindakan perlu diambil sama ada pembetulan dibuat atau diberhentikan lesen dan permit mengikut kesesuaian.

“Sekiranya tindakan tidak diambil segera, dikhuatiri kegiatan ini akan menyebabkan berlakunya banjir besar di kawasan Felda dan ladang-ladang berhampiran pada musim tengkujuh nanti,” katanya.

Sementara itu, Ketua peneroka Felda Bukit Sagu 1,2,3, Wan Ludin Wan Ali berkata, masalah ini harus ditangani dengan segera agar penduduk tidak terus terbeban.

“Ketiadaan air sangat menyusahkan penduduk setempat, perbuatan mengempang sungai juga mengakibatkan aliran sungai menjadi sempit dan kami risau ia tidak dapat menampung hujan lebat pada musim tengkujuh nanti.

“Kami tidak menikmati sebarang keuntungan dari hasil bauksit ini, tetapi kami yang banyak menerima masalah yang membuatkan penduduk rasa teraniaya,” katanya.

0 comments:

share2