Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 24, 2014

KERAJAAN AKAN TARIK BALIK LESEN LOMBONG BIJIH


KUANTAN - Kerajaan Pahang memberi amaran akan menarik balik lesen pengusaha bijih besi sekiranya lori yang membawa muatan itu masih melalui jalan di Kampung Selamat, Gebeng dan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk ke Pelabuhan Kuantan.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata ini kerana selepas pertemuan bersama wakil Persatuan Pengusaha Bijih Besi Pahang minggu lepas, para pengusaha telah bersetuju untuk menggunakan jalan lencongan Sungai Ular ke Pelabuhan Kuantan bagi mengatasi masalah kerosakan jalan dan debu di kawasan berkenaan.

"Jika mereka (lori membawa muatan bijih besi) didapati masih melalui jalan itu (Kampung Selamat dan TLDM) kami tidak teragak-agak untuk menarik balik lesen yang diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Yayasan Pahang di sini hari ini.

Minggu lepas pihak pengusaha bijih besi yang diketuai Pengerusi Persatuan Pengusaha Bijih Besi Pahang Datuk Tengku Zulkifli Tengku Ahmad bersetuju dengan lencongan itu berikutan aduan penduduk kampung mengenai jalan yang rosak dan berdebu akibat aktiviti keluar masuk lori bijih besi di kawasan itu.

Adnan berkata bagi mengatasi masalah itu juga, kerajaan negeri telah mengenal pasti satu kawasan di Gebeng untuk dijadikan kawasan pengumpulan bijih besi.

"Sebelum ini bijih besi dihantar di beberapa tempat di kawasan kampung dan pelabuhan, menyebabkan aliran keluar masuk lori yang terlampau banyak, jika dikumpulkan di satu tempat, lori tak perlu lagi lalu di kawasan itu," katanya.

Ditanya mengenai keadaan kesihatan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah yang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, Adnan berkata baginda dilapor semakin sihat.

"Saya juga ingin membetulkan persepsi rakyat bahawa Sultan (Ahmad Shah) tidak semestinya sakit jantung walaupun dirawat di IJN, baginda dirawat di situ sebab rekod perubatan baginda ada di sana dan doktor pakar yang terbaik untuk merawat baginda juga ada di situ," katanya.

Sementara itu, Adnan berkata kerajaan negeri akan memberi bantuan wang tunai RM150 kepada semua warga tua berketurunan Cina berumur 70 tahun ke atas sempena perayaan Tahun Baharu Cina hujung bulan ini.

"Bantuan itu juga akan diberikan pada perayaan Aidilfitri dan Deepavali kelak," katanya.

Bekenaan bantuan untuk mangsa banjir bernilai US$10juta yang disumbangkan Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Adnan berkata bantuan itu akan diberikan dalam bentuk perabot dan peralatan rumah. - Bernama

3 comments:

  • Anonymous says:
    January 26, 2014 at 8:14 AM

    Tahniah jika betul dan benar.Namun sudah rosak teruk baru nak bg syarat....saya berpendapat sudah terlewat.

  • Anonymous says:
    January 26, 2014 at 8:14 AM

    Tahniah jika betul dan benar.Namun sudah rosak teruk baru nak bg syarat....saya berpendapat sudah terlewat.

  • Anonymous says:
    January 26, 2014 at 8:14 AM

    Tahniah jika betul dan benar.Namun sudah rosak teruk baru nak bg syarat....saya berpendapat sudah terlewat.

share2