Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, October 10, 2015

ANGGOTA KELUARGA PENGSAN LIHAT ANAK MASIH HIDUP


Anggota keluarga pengsan lihat anak masih hidup


Gua Musang - Tiga ahli keluarga dua kanak-kanak Orang Asli yang dijumpai kurus kering dan masih hidup, pengsan ketika melihat anak mereka dibawa ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk menerima rawatan, petang semalam.

Suasana cemas di lobi hospital itu juga riuh rendah dengan suara jeritan ahli keluarga yang tidak dapat menahan sebak dan sedih melihat dua kanak-kanak tersebut, Noreen Yaacob, 10, dan Mirsudiar Aluj, 11, tidak seperti sebelum ini.

Malah, polis terpaksa mengawal keadaan itu dengan membawa ahli keluarga yang pengsan ke kawasan rehat supaya mereka dapat bertenang.

Dua kanak-kanak terbabit ditemui anggota polis bersama penduduk kampung ketika melancarkan gerakan mencari sepanjang Sungai Perias, Pos Tohoi, dengan menggunakan bot kira-kira jam 12.17 tengah hari.

Turut ditemui, mayat seorang lagi rakan mereka dikenali Ika Ayel, 10, kira-kira 3.3 kilometer dari Pos Tohoi dalam keadaan berpakaian lengkap dan dikenali ahli keluarganya.
Penemuan itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa ditemui setakat ini lima orang dan dua lagi masih dicari.

Kira-kira jam 7 petang, Rabu lalu, mayat separuh reput dikenali Sasa Sobrie, 8, dijumpai dalam Sungai Perias dengan kakinya tersangkut pada dahan kayu, manakala seorang lagi mangsa ditemui dalam keadaan tinggal rangka dan belum diketahui identitinya.

Seorang ibu mangsa yang ditemui selamat, Midah Angah, 40, berkata, dia belum gembira sepenuhnya kerana seorang lagi anaknya, Haika Yaacob 8, belum ditemui dan belum tentu nasibnya.

“Saya tidak tahan sedih dan menjerit sekuat hati kerana wajah anak cengkung serta kurus kering tetapi mujur dia ditemui, jika tidak tak tahulah apa yang akan berlaku.

“Ketika datang ke hospital beberapa hari lalu untuk mengecam mayat pertama, saya risau kerana takut anak saya macam itu dan meninggal dunia, tetapi seorang masih selamat,” katanya.

Ayel Ajip, 42, pula berkata, dia menerima kematian anaknya, Ika Ayel, 9, dengan hati yang terbuka.

“Saya amat pilu melihat mayat anak saya yang baru ditemui tetapi masih berpakaian lengkap. Dia dipercayai baru meninggal dunia kerana lapar,” katanya.

0 comments:

share2