Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 30, 2015

UMNO, PAS, NGO AKAN PROTES DEPAN KEDUTAAN AS


Umno, Pas, NGO akan protes depan Kedutaan AS


Kuala Lumpur - Gabungan 40 NGO Malaysia hari ini merancang untuk mengadakan Himpunan Selamatkan Al-Quds bagi menyatakan bantahan dan kemarahan umat Islam terhadap percubaan tentera Israel untuk membahagikan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.

Jurucakap Sekretariat Kempen Selamatkan Al-Quds, Mohamad Raimi Ab Rahman berkata, himpunan sempena Hari Kemarahan itu bakal diadakan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, Jalan Tun Razak, pada Jumaat ini.

"Himpunan Selamatkan Al-Quds di bawah kendalian Sekretariat Kempen Selamatkan Al-Quds akan diadakan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur selepas solat Jumaat.

"Himpunan ini juga bertujuan menyerahkan memorandum bantahan kepada pihak kedutaan Amerika di atas pencerobohan Al-Quds oleh regim Zionis Israel di Baitulmaqdis," katanya pada sidang media di Yayasan Hidayah, di sini, hari ini.

Hadir sama, wakil-wakil parti politik, antaranya Pemuda Umno Malaysia, Lajnah Antarabangsa Pas Pusat dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Sebelum ini, parti politik Hamas meminta Malaysia memainkan peranan utama dalam melindungi Masjid Al-Aqsa daripada pencerobohan tentera Israel khususnya pendudukan haram di Baitulmaqdis khususnya di Al-Aqsa.

Ketua Biro Politiknya, Khaled Meshaal berkata, tindakan regim Zionis itu kini semakin membahayakan Masjid Al-Aqsa apabila cubaan untuk membahagikan tempat ibadat umat Islam itu dengan mengenakan “de facto” baharu.

Mengulas lanjut, Mohamad Raimi juga berkata, Masjid Al-Aqsa hari ini mengalami pencabulan apabila regim Israel cuba mengenakan pembahagian Al-Aqsa dari sudut masa dan ruang ibadat.

"Penafian hak oleh Zionis Israel ini tidak pernah berlaku sebelum ini di mana orang Islam tidak dibenarkan masuk ke dalam Masjid Al-Aqsa pada masa-masa tertentu untuk memberi akses kepada proses pengyahudian Israel di Masjid Al-Aqsa," katanya lagi.

0 comments:

share2