Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 22, 2015

TERMINAL BAS BERNILAI RM2J BAKAL DIBINA


bas


Kemaman - Kerajaan Terengganu akan membina sebuah‎ terminal bas ekspres baharu bernilai RM2 juta di Kerteh dekat sini, sebagai kemudahan prasarana yang bakal memberi manfaat kepada ribuan penduduk sekitar kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Ir Rosli Othman berkata peruntukan bagi membina terminal bas ekspres itu akan disalurkan oleh Pejabat Perdana Menteri.

"Kita telah kenal pasti tapak yang bersesuaian berdekatan restoran makanan segera McDonalds di Kerteh.

"Setakat ini proses dokumentasi dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah selesai, dan apabila proses perolehan sudah selesai, kerja pembinaan akan dimulakan pada akhir tahun atau awal tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kempen pendaftaran baharu untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rosli berkata pembinaan kemudahan baharu itu sangat tepat pada masanya memandangkan ia adalah keperluan mendesak penduduk di sekitar Kerteh yang menggunakan pengangkutan awam.

"Proses pembinaan dijangka mengambil masa antara 10 hingga 12 bulan dan sebagai permulaan, kita jangka 10 syarikat bas akan beroperasi di terminal baharu itu nanti.

"Dari aspek keselamatan, terminal baharu itu adalah tempat yang selamat dan selesa untuk pengguna bas ekspres di sekitar Kerteh," katanya.

Pada masa ini, Kemaman mempunyai satu terminal bas terletak di bandar Chukai, namun bagi pengguna bas dari kawasan lain, tiada hentian khusus untuk mereka menunggu kenderaan awam di tempat yang sesuai.

Sebaliknya, mereka perlu menunggu di beberapa pondok bas yang dijadikan tempat mengambil dan menurunkan penumpang.

0 comments:

share2