Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 1, 2015

SIASAT RISALAH MERAGUKAN


Siasat risalah meragukan


Nilai - Risalah berunsur keagamaan bukan Islam dikesan disebarkan warga asing di taman perumahan sekitar Bandar Baru Nilai, di sini, sehingga mengundang rasa kurang senang penduduk.

Sabtu lalu, penduduk sekitar Taman Desa Cempaka 2 menerima risalah bertajuk ‘Masuk ke Surga’ yang dimasukkan ke dalam peti surat rumah.

Berikutan itu, penduduk mahu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menyiasat dan mengambil tindakan berhubung perkara berkenaan.

Salah seorang penduduk, Abdul Hadi Bulin, 47, berkata, dia terkejut apabila anak lelakinya berusia 10 tahun membawa pulang risalah tersebut.

“Bila saya baca, ia macam cubaan menyebar agama tertentu di kawasan perumahan ini. Memang tak wajar disebarkan kerana dibimbangi boleh memesongkan akidah masyarakat Islam.

“Bila saya bercerita kepada jiran, mereka pun mendakwa dapat risalah sama yang diedarkan dua wanita dipercayai berasal dari Filipina berdasarkan raut wajah dan cara percakapannya,” katanya, semalam.

Menurutnya, wanita terbabit berusia lingkungan 20-an serta berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, katanya, apabila ditanya mengenai risalah itu, wanita itu mendakwa beragama Islam dan mengaku berbangsa Melayu.

“Tapi bila suruh cakap bahasa Melayu, mereka tak tahu. Memang pelik dan meragukan kehadiran mereka ke kawasan perumahan dan edarkan risalah macam itu.

“Bila jiran saya cuba nak ambil gambar, mereka mengelak dan terus menghilangkan diri,” katanya yang sudah membuat laporan polis.

Abdul Hadi berkata, tindakan menyebarkan risalah itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia turut diedarkan kepada kanak-kanak.

“Ini mereka baru edar risalah, kita tak tahu pula lepas ini buat apa pula. Saya harap jabatan agama Islam dapat buat pemantauan dan siasatan mengenai perkara ini yang tidak boleh dipandang remeh.

“Saya pun dah maklum kepada jiran dan rakan supaya berhati-hati, bimbang ada terpengaruh. Saya tiada niat memperkecil agama lain, tapi penyebaran risalah seperti itu kepada orang Islam adalah tak patut,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Nilai, Zaldino Zaludin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung perkara itu.

Beliau berkata, pihaknya akan merujuk kepada JHEAINS untuk siasatan lanjut.

0 comments:

share2