Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 1, 2015

DITARIK MASUK DALAM KERETA


Ditarik masuk dalam kereta


Bandaraya Melaka - Seorang gadis trauma apabila dia menjadi mangsa cubaan samun ketika dalam perjalanan ke sebuah kedai untuk membeli air minuman dan kad tambah nilai telefon prabayar.

Mangsa hanya mahu dikenali sebagai Hidayah, 19, yang juga seorang sukarelawan polis hampir disamun dua lelaki ketika berjalan kaki ke kedai di Jalan Pulau Gadon, kira-kira jam 6.30 petang, Sabtu lalu.

Menurut Hidayah, kejadian itu bukan saja menyebabkan dia trauma, malah terpaksa menahan sakit pada perut serta anggota badan akibat dipijak dan ditendang penjenayah terbabit.

Menceritakan kejadian, Hidayah berkata, semasa kejadian dia sedang berjalan kaki sebelum secara tiba-tiba sebuah kereta Proton Iswara hitam bercermin gelap menghampirinya.

Menurutnya, lelaki dalam kereta itu menarik beg sandangnya sebelum menekup mulutnya dan membawa masuk ke dalam kenderaan berkenaan.

“Dia tak cakap apa-apa tapi terus tarik masuk dalam kereta. Pada masa sama saya meronta-ronta nak selamatkan diri.

“Tangan sebelah suspek pegang leher saya, satu lagi cuba buka tali pinggang saya sebab nak seluk poket seluar depan dengan belakang. Saya meronta habis-habisan nak selamatkan diri dan saya sempat cakar dengan tumbuk muka dia, tapi lagi dia berkeras,” katanya.

Menurutnya, dianggarkan kira-kira 15 minit dia bergelut dengan suspek untuk menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, katanya, selepas suspek tidak memperolehi apa-apa, dia terus ditendang keluar dari kereta dan ditinggalkan di lorong sunyi belakang sebuah kondominium di Klebang.

“Dia cakap 'perempuan ni menyusahkan aku je'. Lepas tu terus tendang saya keluar, pijak tangan saya.

“Sudahlah sakit pijak tangan, dia pijak bahu, tendang perut dan pinggang saya. Mungkin sebab tak nak bagi saya tengok nombor plat kereta dia,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Hidayah berkata, selepas ditinggalkan, mangsa menggagahkan diri bangun untuk meminta pertolongan orang ramai.

Bagaimanapun, katanya, dia amat bersyukur kerana seorang lelaki berhampiran lokasi kejadian membantunya dan mangsa membuat laporan polis serta mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, polis kini sedang mengesan dua lelaki berusia 20 hingga 30 tahun.

“Polis sedang giat mengesan suspek ini bagi membantu siasatan,” katanya yang memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun.

0 comments:

share2