Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, September 3, 2015

DENDA JIKA GAGAL KIBAR BENDERA


Denda jika gagal kibar bendera


Seremban - Berikutan sambutan dingin peniaga mengibarkan Jalur Gemilang pada premis perniagaan masing-masing sempena sambutan kemerdekaan, kerajaan negeri bercadang mengambil tindakan tegas pada masa akan datang.

Tindakan yang mungkin diambil adalah tidak memperbaharui lesen perniagaan peniaga terbabit.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, cadangan itu dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) selepas beliau kecewa melihat premis perniagaan di sekitar bandar ini tidak mengibarkan Jalur Gemilang sempena hari merdeka, 31 Ogos lalu.

Beliau berkata, syarat berkenaan akan dilaksanakan tahun depan sekiranya didapati masih ada peniaga yang enggan mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang tempoh kempen bermula 15 Ogos sehingga Hari Malaysia pada 16 September.

Menurutnya, hasil tinjauan beliau sebelum ini mendapati jumlah peniaga yang mengibarkan Jalur Gemilang boleh dikira dengan jari.

“Saya akan mengarahkan semua PBT supaya tidak perbaharui lesen perniagaan jika mereka tidak mahu mengibarkan bendera Malaysia.

“Mereka langsung tidak cintakan negara. Saya bukan suruh gantung bendera BN tapi bendera Malaysia, bendera negara kita sendiri,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini, semalam.

Mohamad berkata, pelaksanaan syarat itu melibatkan semua peniaga, penjaja, pemilik premis perniagaan termasuk pasar raya, gedung-gedung dan kilang di negeri ini.

Sementara itu, Mohamad berkata, kerajaan negeri menyokong program pengasingan sisa pepejal berkuat kuasa kelmarin dan meminta penduduk di negeri ini menjayakan.

Beliau berkata, program di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu baik untuk masa depan negara.

Menurutnya, beliau hanya tidak bersetuju terhadap penalti dikenakan kepada mereka tidak mematuhi program berkenaan, bukan pelaksanaan pengasingan sisa pepejal itu.

“Saya kurang bersetuju dengan penalti kerana jumlahnya besar. Kita perlu bagi mereka pengajaran dan pendidikan dulu. Sampai satu masa tahap kesedaran mereka baik, barulah dilaksanakan penalti," katanya.

0 comments:

share2