Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, August 2, 2015

LORI TANAH GUNA LALUAN KAMPUNG


Lori tanah guna laluan kampung


Kuala Lumpur - Puluhan lori tanah dari tapak sebuah projek pembangunan berhampiran yang menggunakan laluan keluar masuk Kampung Malaysia Raya (Kamara), Sungai Besi, di sini menimbulkan rasa kurang senang penduduk. 

Pengerusi Persatuan Penduduk, Mohd Zainudin Amran berkata, projek menambak tanah di tapak berkenaan bermula sejak pertengahan Mei lalu dan menggunakan pintu masuk utama kampung memberi risiko keselamatan kepada mereka. 

“Kerja-kerja mengangkut tanah dibuat setiap hari kadang kala termasuk pada hujung minggu.

“Ini memberi risiko kepada penduduk yang menggunakan laluan sama. Dalam masa sama, kita bimbang ia akan menjejaskan laluan di situ,” katanya kepada Sinar Harian. 

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan, Sub Zon 9, Parlimen Bandar Tun Razak berkata, kira-kira 30 lori mengangkut tanah di situ setiap hari. 

“Perkara ini telah dimaklumkan secara bersurat kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memohon agar ia diberi perhatian sewajarnya,” katanya. 

Ujarnya, jalan terbaik adalah menghentikan projek berkenaan buat sementara waktu.

“Kita mohon DBKL menerusi Datuk Bandar baharu bantu menghentikannya sehingga ia mendapat kelulusan mewujudkan jalan khas keluar dan masuk ke tapak tersebut,” katanya.

0 comments:

share2