Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, August 2, 2015

(MARAN) SABAR TUNGGU SIASATAN 1MDB SELESAI


Sabar, tunggu siasatan 1MDB selesai


Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta semua pihak bersabar menunggu siasatan penuh isu 1MDB sebelum membuat sebarang andaian.

Tengku Abdullah berkata, rakyat perlu lebih rasional kerana mereka yang melakukan kesalahan pasti akan berdepan tindakan undang-undang.

“Kita harus memperhalus puncanya dan tidak menuding jari,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama Kementerian Sumber Manusia dan warga Parlimen Maran, di sini.

Beliau diiringi anakandanya, Tengku Hassanal Ibrahim Shah Tengku Abdullah.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Timbalannya, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib yang juga Ahli Parlimen Maran.

Tengku Abdullah berkata, rakyat harus bersatu tanpa mengira ideologi politik dalam mengharungi cabaran dihadapi negara masa kini.

Merujuk perkembangan politik tanah air, beliau meminta rakyat jangan bertindak mengikut perasaan sebaliknya terus berpegang kepada sistem demokrasi berparlimen serta raja berperlembagaan.

“Saya percaya di mana-mana negara sekali pun proses memperkukuhkan demokrasi sentiasa berjalan... begitu juga kita turut melaluinya.

“Walaupun berselisih fahaman ideologi politik, kita tidak harus berpecah dan perlu kembali bersatu,” katanya.

Tengku Abdullah berkata, semua pihak harus merasai apa sedang dialami pemimpin negara yang mungkin tidak tenteram selepas pelbagai tohmahan dilemparkan terhadap mereka.

“Saya kenal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sejak muda lagi dan beliau tahu selok-belok (dasar kerajaan dan politik).

“Saya harap rakyat terus di belakangnya, beliau pemimpin yang saya percaya faham hasrat kerajaan serta rakyat,” katanya.

0 comments:

share2