Kira-kira 120 orang penduduk di sekitar Lorong Air Putih 96, membantah pembinaan menara telekomunikasi dwifungsi yang berukuran 30 meter yang sedang dibina di kawasan taman permainan berhampiran kediaman mereka.
Wakil penduduk, Liew Khew Onn, 37, berkata, keengganan penduduk disebabkan lokasi pembinaan menara tersebut tidak sesuai dan mendakwa boleh mendatangkan kemudaratan kepada penduduk setempat.
“Pembinaan menara estetika tersebut adalah secara mengejut dan mereka membinanya secara perlahan, mungkin kerana bimbang diserbu penduduk setempat.
“Taman tersebut adalah tempat mereka beriadah dan digunakan hampir setiap hari tidak mengira masa. Jika adanya menara tersebut boleh memberikan gangguan.
“Kami juga risau kerana terlalu hampir dengan rumah memandangkan sudah pasti ada risikonya yang mengundang bahaya, malah sepatutnya mereka tidak membinanya di taman permainan yang terletak di tengah-tengah perumahan,” katanya kepada Sinar Harian.
Turut hadir dalam lawatan itu, Adun Teruntum, Sim Chon Siong dan Adun Berserah, Andansura Rabu.
Tambahnya, penduduk sudah pun membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Kuantan dan mereka sudah pun mengeluarkan notis untuk memberhentikan kerja-kerja membina namun ianya hanyalah untuk sementara waktu.
Manakala, bagi seorang lagi penduduk, S Shaan, 50, berkata, pembinaan menara telekomunikasi tersebut telah merosakkan kawasan taman permainan dan perumahan di sini.
“Bila ada pembinaan seperti ini, agar sukar penduduk di sini untuk beristirahat dan beriadah di kawasan taman permainan ini.
“Mereka membuat projek seperti ini tidak memikirkan kesan sampingan dan sebagainya, saya harap mereka hentikan pembinaannya dan menukar ke lokasi lain yang lebih strategik,” katanya.
0 comments:
Post a Comment